MH Online

Laman Suara Rakyat

2 Pegawai Polis Terlibat Kes Ubah Wang Haram Ditahan SPRM

2 Pegawai Polis Terlibat Kes Ubah Wang Haram Ditahan SPRM

CHERAS, Dua pegawai polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), disyaki ada kaitan dengan kes pengubahan wang haram yang membabitkan selebriti tanah air.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, namun beliau menjelaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak dimaklumkan oleh SPRM sebab penahanan dua pegawai berkenaan.

“Kes kini disiasat SPRM. Pihak terbabit tidak maklumkan penahanan pegawai kerana isu pengubahan wang haram atau kes lain. Bagaimanapun, kita turut membuat siasatan dalaman mengenai perkara ini.

“Pengarah Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman (Datuk Zamri Yahya) akan membuat siasatan sejauh mana pembabitan pegawai dalam isu ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sebelum ini, SPRM membekukan 750 akaun dengan simpanan kira-kira RM75 juta hasil aktiviti pengubahan wang haram, termasuk membabitkan selebriti.

Agensi itu juga turut menyita 24 kenderaan mewah dan motosikal berkuasa tinggi milik beberapa daripada individu yang ditahan.

Memetik sumber SPRM berkata, suruhanjaya itu juga menyita kediaman mewah milik pasangan suami isteri yang ditahan Jumaat lalu dan seorang suspek lain yang ditahan bersama-sama mereka.

Dalam pendedahan sebelum ini, Media melaporkan, dalang utama sindiket berkenaan dipercayai rakyat China, tetapi menggunakan ejen di Malaysia untuk menguruskan ‘pelaburan’ termasuk mencari perniagaan berpotensi sebagai platform membersihkan wang hasil penipuan.

Ejen sindiket akan mendekati selebriti tanah air dan menyatakan minat melabur dalam perniagaan atau menyuntik modal untuk selebriti berkenaan memulakan perniagaan.

Susulan itu, seorang selebriti bersama isterinya yang juga seorang artis serta seorang usahawan kosmetik dipanggil oleh SPRM membantu siasatan berhubung pengubahan wang haram.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, hukuman mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang dikenakan kepada individu yang menyebar berita palsu adalah memadai.

“Hukuman berat mengikut Seksyen 233 itu, ia sudah mencukupi.

“Orang ramai dinasihatkan berkongsi maklumat daripada sumber sahih seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan,” katanya.