MH Online

Laman Suara Rakyat

2 Lelaki Ditahan Curi Pakaian

2 Lelaki Ditahan Curi Pakaian

PADAWAN, Pemilik sebuah kedai pakaian di Batu Kawa, di sini, menahan dua lelaki selepas disyaki mencuri pakaian, dari kedainya, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan, berkata kedua-dua lelaki masing-masing berusia 16 tahun dan 41 tahun itu ditahan sebaik hendak memasuki kenderaan.

Terdahulu, katanya, kira-kira jam 10.30 pagi, kedua-dua lelaki itu yang berpura-pura menjadi pelanggan memasuki kedai berkenaan dan memilih pakaian.

Katanya, selepas beberapa minit berlegar di ruang pameran premis, suspek kemudian bergegas keluar dengan membawa tiga plastik pakaian tanpa membuat sebarang pembayaran.

“Suspek keluar dalam keadaan tergesa-gesa kerana tidak mahu tindakan mereka disedari pemilik mahu pun pekerja premis.

“Namun, pemilik premis yang curiga dengan tindakan itu kemudian mengekori suspek hingga ke kereta sebelum menahan mereka,” katanya.

Aidil berkata, pemeriksaan lanjut menemui tiga bungkusan plastik mengandungi baju T pelbagai jenama milik premis berkenaan.

Katanya, suspek kemudian diserahkan kepada polis tindakan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.