Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > 2 Ditahan Seleweng Kontrak Latihan

2 Ditahan Seleweng Kontrak Latihan

PUTRAJAYA, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa berkaitan penyelewengan kewangan dan pengagihan kontrak latihan bernilai RM4 juta, membabitkan anak syarikat FELCRA Berhad.

Sumber memberitahu, suspek pertama yang juga pengurus kanan anak syarikat berkenaan berusia 53 tahun ditahan pada jam 6.20 petang di ibu pejabat SPRM di sini, manakala suspek kedua berusia 45 tahun ditahan pada jam 5.40 petang di SPRM Kelantan, masing-masing selepas hadir memberi keterangan.

Semalam, SPRM menyerbu 10 lokasi termasuk pejabat anak syarikat Felcra di Setapak, Kuala Lumpur berhubung kes itu.

Serbuan dijalankan serentak di sekitar Pantai Timur, Lembah Klang dan Perak.

SPRM juga mengambil sejumlah dokumen berkaitan bagi membantu siasatan.

Sumber berkata, pengurus kanan anak syarikat itu dipercayai memanipulasi sebut harga, selain melantik syarikat luar yang dimiliki anggota keluarga termasuk anak menantu dan kenalannya bagi membekalkan tenaga pengajar, pakar latihan serta kursus yang dikendalikan anak syarikat itu.

“Salah guna kuasa itu dikesan sejak 2014 dan berlarutan sehingga kini membabitkan nilai projek berjumlah kira-kira RM4 juta.

“SPRM percaya masih ada beberapa lagi syarikat luar yang terbabit serta pengurus kanan itu juga disyaki menerima habuan pada setiap kontrak yang diperoleh,” katanya.

Sumber berkata, seramai 15 individu dibawa ke ibu pejabat SPRM Putrajaya dan Kelantan untuk ditemu bual berhubung isu berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini bagi tujuan permohonan reman.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya.

Leave a Reply

Top