MH Online

Laman Suara Rakyat

2 Ahli Parlimen UMNO Nafi Sokong Anwar

2 Ahli Parlimen UMNO Nafi Sokong Anwar

KUALA LUMPUR, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan dia antara Ahli Parlimen dari Sabah menyokong gerakan penubuhan kerajaan baharu diketuai Presiden PKR, Datuk Sri Anwar Ibrahim.

Penafian itu dibuat selepas beliau yang juga Ketua UMNO Sabah dinamakan antara wakil rakyat UMNO yang menyokong Anwar bagi membolehkan beliau menubuhkan kerajaan baharu.

“Saya, tidak tahu menahu perkara ini hanya dimaklumkan berita tersebut diterbitkan di salah sebuah portal dan viral di media sosial dan saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya pernah atau terlibat menyokong gerakan penubuhan kerajaan baharu diketuai Ahli Parlimen Port Dickson, sebagaimana yang dilaporkan sebuah portal berita dalam talian,” katanya dalam kenyataannya semalam.

Beberapa hari lalu, Anwar mengumumkan mendapat “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” daripada Ahli Parlimen untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membentuk kerajaan baharu.

Menurut Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah sebagaimana beliau tegaskan beberapa hari lalu sebaik sahaja BN dan gabungan Perikatan Nasional mengambil alih kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), tumpuan utama ialah memajukan negeri dan memperbaiki taraf hidup rakyat.

“Masa berpolitik sudah berlalu, kita tumpu untuk perhatian membangunkan negeri dan rakyat apa lagi ketika ini Sabah berhadapan dengan gelombang kedua Pandemik COVID-19 kehidupan rakyat semakin terjejas terutamanya di kawasan kawasan diketegorikan ‘Red Zone’,” ujarnya.

Sementara itu seorang lagi Ahli Parlimen yang disebut-sebut menyokong gerakan penubuhan kerajaan baharu itu ialah Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin turut menafikan menyokong Pengerusi Harapan (PH) dengan berkata beliau kekal dalam parti UMNO Dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua UMNO Bahagian Kimanis itu meminta Anwar membuktikannya di Dewan Rakyat bukan di hotel atau sidang media.