Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > 1MDB Dimasukkan Dalam Sukatan Mata Pelajaran Sejarah

1MDB Dimasukkan Dalam Sukatan Mata Pelajaran Sejarah

KUALA LUMPUR, Isu berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan penyelewengan membabitkan ahli politik akan dimasukkan sebagai sukatan pelajaran Sejarah sebagai pengajaran.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata kesilapan itu perlu dipelajari supaya tidak diulangi generasi masa depan.

“Saya boleh memberi jaminan isu 1MDB akan dimasukkan dalam sejarah Malaysia supaya generasi masa depan tidak akan mengulanginya.

“Sejarah khazanah yang ‘disamun’ dan juga pemimpin akan dimasukkan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN UMNO-Pontian) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad ingin mengetahui fakta sejarah yang menjadi kontroversi dalam negara dan garis masa ditetapkan bagi membolehkannya dijadikan sebahagian daripada pengisian mata pelajaran.

Kepada soalan tambahan Hasanuddin Mohd Yunus (PH AMANAH-Hulu Langat) berhubung langkah diambil bagi memupuk minat tenaga pengajar dan pelajar lebih meminati subjek terbabit, Maszlee berkata, ia berada dalam tindakan kerajaan.

“Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menambah baik pengisian kokurikulum dan teks Sejarah. Kita akan bekerjasama dengan jawatankuasa sedia ada bagi memperkasakan pengisiannya.

“Selain itu, beberapa siri wacana dengan tokoh dan ahli sejarah diadakan bagi mengenali serta mendalami perspektif sejarah secara lebih naratif dan produktif,” katanya.

Leave a Reply

Top