Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > 1MDB Cadang Penubuhan SRC

1MDB Cadang Penubuhan SRC

KUALA LUMPUR, Idea penubuhan SRC International Sdn Bhd (SRC) muncul selepas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mencadangkan pembentukan syarikat sumber strategik bagi memenuhi matlamat kebangsaan memastikan bekalan tenaga mampan dan berterusan.

Sehubungan itu, satu perbincangan diadakan antara Datuk Seri Najib Razak selaku perdana menteri ketika itu, bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berkenaan perkara terbabit.

Najib, yang membacakan pernyataan saksinya, berkata beliau percaya Shahrol Azral menyediakan sesalinan deraf surat yang diterimanya (Najib) pada Ogos 2010 berhubung cadangan penubuhan SRC.

Menurut bekas perdana menteri itu, kandungan surat daripada 1MDB merangka rasional cadangan pembentukan SRC sebagai suatu panduan untuk melaksanakan pelaburan dalam sumber tenaga yang strategik.

Jelas Najib, pandangannya berhubung idea penubuhan SRC adalah tepat pada masanya kerana Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) sudah dimuktamadkan dan dilancarkan pada 10 Jun 2010.

“Dalam mencapai matlamat RMK-10, kerajaan pada masa itu mengambil kita faktor pertambahan keperluan bagi sumber tenaga semula jadi seperti arang batu dan minyak serta gas bagi menjayakan pembangunan inisiatif berkenaan.

“Pada ketika itu, kerajaan juga memutuskan untuk melihat potensi kemungkinan digunakan tenaga nuklear dan keperluan infrastruktur berasaskan kehendak Dasar Tenaga Negara…Atas dasar itu, matlamat penubuhan SRC adalah selaras dengan dasar pembangunan nasional.

“Selaras dengan amalan biasa kerajaan, saya mengarahkan Bahagian Tenaga di Unit Perancangan Ekonomi (EPU) melalui menteri yang bertanggungjawab ketika itu, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, untuk mengkaji cadangan terbabit.

“Hal ini kerana skop penubuhan SRC adalah suatu inisiatif yang julung kali dilaksanakan,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu bagaimanapun menafikan pembabitannya dalam penubuhan SRC pada 7 Januari 2011 kerana ia berada di bawah skop EPU.

Dia juga percaya bahawa 1MDB melaporkan kepada EPU mengenai penubuhan SRC dan hanya menyedari penubuhan syarikat itu kemudiannya.

Sementara itu, Peguam bela, Wan Aizuddin Wan Mohammed, bertanya kepada Najib sama ada dia (Najib) terbabit dalam proses pelaksanaan Memorandum dan Artikel SRC yang memberikan kuasa eksklusif kepada perdana menteri.

Ia termasuk Perkara 116 yang mengandungi perkara tertentu yang tidak dapat dilaksanakan oleh Lembaga Pengarah tanpa kelulusan Perdana Menteri.

Menjawab persoalan itu, Najib berkata, dia tidak dirujuk mengenai penubuhan SRC sehinggalah selepas melihat dokumen berkaitan

Menurutnya, dia mendapati ia ditubuhkan melalui B&M Consultancy Services Sdn Bhd dan Lim Poh Seng, yang juga setiausaha syarikat 1MDB.

Katanya, dia tidak pernah terbabit atau mengadakan rundingan bagi kemasukan peruntukan itu dalam Memorandum dan Artikel SRC , dan hanya mendapati di dalam surat bertarikh 3 Jun 2011 (P364), SRC menyatakan penubuhannya diluluskan oleh Nor Mohamed.

Jelasnya lagi, perdana menteri tidak dapat melantik pengarah tanpa kelulusan Lembaga Pengarah dan tidak dapat menyingkirkan mana-mana pengarah sebelum resolusi syarikat diperoleh.

Najib turut disoal mengenai permohonan 1MDB untuk mendapatkan Geran Kerajaan sebanyak RM3 bilion tidak disokong EPU, sebaliknya EPU mengesyorkan supaya geran pelancaran sebanyak 20 juta diluluskan.

Najib menjawab: “Saya tidak kecewa berhubung perkara itu kerana sedar geran berkenaan tidak dimasukkan ke dalam belanjawan…Belanjawan negara memang ada had yang disediakan mengikut kemampuan kewangan kerajaan.

“RMK-10 tidak pernah menyediakan jumlah geran sebanyak itu sebagai peruntukan bagi pembangunan sumber tenaga, sebaliknya EPU bersetuju menyediakan geran pelancaran (launching grant) sebanyak RM20 juta.

“Justeru saya menjangkakan geran permohonan SRC sebanyak RM3 bilion akan ditolak berdasarkan justifikasi yang dinyatakan dalam memo.

“Namun, SRC dicadangkan mendapatkan modal melalui pinjaman komersial atau inisiatif usaha korporat atau pengeluaran bon supaya persaingan sihat antara syarikat berkaitan kerajaan dapat diwujudkan,” katanya.

Tambah Najib, geran yang diperlukan tidak seharusnya diambil melalui belanjawan kerajaan sebab ia akan mengakibatkan pengurangan dana untuk projek pembangunan lain.

Bagaimanapun, menurutnya, geran itu tidak dirujuk kepada Kementerian Kewangan kerana ia tidak diperlukan berikutan penentuan had bumbung peruntukan untuk pelbagai sektor adalah di bawah kuasa EPU secara makro dan mengikut keperluan sektor.

Tambahnya lagi, sebagai perdana menteri ketika itu, dia boleh mengarahkan supaya geran pelancaran sebanyak RM3 bilion diberikan seperti dalam permohonan.

Bagaimanapun, mengikut amalan kepimpinannya, dia lebih suka mendapatkan pandangan daripada semua kementerian dan agensi yang terlibat antaranya, EPU, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Kementerian Kewangan.

“Pendapat mereka membantu saya untuk membuat keputusan. Mereka sependapat bahawa modal yang diperlukan SRC tidak wajar diambil dari siling dana pembangunan yang sedia ada.

“Ini berikutan ia akan menjejaskan keperluan pembangunan untuk sektor lain,” katanya pada hari pertama prosiding bela diri kes membabitkan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Najib berpendapat SRC dapat memainkan peranan penting dalam menzahirkan Dasar Tenaga Nasional, namun kebimbangannya adalah terhadap kebergantungan kepada minyak dan gas yang melampau, memandangkan wujud kekurangan sumber.

Menurutnya implikasi itu mungkin tidak dirasai pada ketika ini, tetapi ia pasti memberikan kesan yang lebih cepat daripada apa yang di sangka sekiranya tidak mempunyai sebarang rancangan alternatif seperti pembabitan dalam inisiatif tenaga nuklear.

Leave a Reply

Top