Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > TMM 2020 Penggerak Utama Industri Pelancongan Negara

TMM 2020 Penggerak Utama Industri Pelancongan Negara

PUTRAJAYA, Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY2020) adalah satu misi nasional yang akan menjadi pemangkin dan penggerak utama kepada industri pelancongan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata VMY2020 yang bertemakan ‘Travel.Enjoy.Respect’ juga menjadi agenda utama dalam mencapai sasaran di bawah Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia (MTTP) bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam industri pelancongan.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata Sekretariat VMY2020 telah ditubuhkan di bawah Tourism Malaysia bagi menyelaras dan melaksanakan semua program serta aktiviti yang berkaitan dengan kempen Tahun Melawat Malaysia itu.

“Semua kementerian serta agensi dan jabatan yang terlibat telah bersiap sedia memberikan komitmen sepenuhnya bagi merealisasikan kempen VMY2020,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan yang pertama bagi tahun ini di sini pada selasa.

Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz untuk mengkoordinasi semua kementerian dan agensi bagi pembangunan industri pelancongan negara.

Ketika membentangkan Bajet 2018, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tahun 2020 sebagai Tahun Melawat Malaysia yang mana negara akan menjadi tuan rumah kepada beberapa persidangan antarabangsa termasuk Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata industri pelancongan merupakan antara penyumbang utama kepada sektor perkhidmatan negara dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 14.8 peratus atau RM182.4 bilion.

Beliau berkata dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), industri pelancongan menjadi penyumbang ketiga terbesar dengan sumbangan bernilai RM73.3 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar.

“Guna tenaga industri pelancongan juga telah mencatatkan rekod tertinggi iaitu seramai 3.2 juta orang atau 22.7 perats daripada jumlah guna tenaga keseluruhan pada tahun 2016,” katanya.

Timbalan perdana menteri berkata ketibaan pelancong asing ke Malaysia pada tahun lalu adalah seramai 25.94 juta orang, menurun tiga peratus berbanding tahun 2016.

Menurutnya, punca utama penurunan adalah disebabkan pengurangan ketibaan pelancong daripada pasaran negara ASEAN sebanyak 3.9 peratus.

“Ini adalah kerana pasaran itu terus mendominasi pasaran pelancongan negara dengan 75.1 peratus daripada keseluruhan jumlah pelancong yang tiba di Malaysia,” jelas beliau.

Malaysia telah menerima pelbagai pengiktirafan dunia sepanjang tahun lalu antaranya Malaysia menawarkan penjagaan kesihatan terbaik di dunia, destinasi terbaik dunia dari segi pelancongan Islam, dan disenaraikan negara keenam terbaik di dunia untuk menghabiskan masa persaraan.

Mesyuarat itu turut membincangkan tiga kertas pertimbangan iaitu masalah dihadapi warganegara Iran untuk menyertai Program Rumah Keduaku, penyerahan urusan pengendalian pakej umrah dan ziarah kepada pihak Jabatan Perdana Menteri dan pelanjutan tempoh visa bagi pelancong warganegara Arab Saudi ke Malaysia.

Leave a Reply

Top