MH Online

Laman Suara Rakyat

19 Individu Ditipu Pakej Tajaan Umrah

19 Individu Ditipu Pakej Tajaan Umrah

TEMERLOH, Hanya bayar RM2,200 untuk mengerjakan umrah, manakala bakinya akan ditaja seorang individu bergelar ‘Datuk’.

Itu taktik digunakan sebuah syarikat pelancongan yang menawarkan pakej umrah bagi menipu 19 individu di sini sehingga mangsa kerugian RM41,800.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata semua mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, semalam yang mendakwa diperdaya syarikat berkenaan.

“Berdasarkan laporan polis dibuat seorang wanita berusia 62 tahun, dia mendakwa ditawar menunaikan umrah oleh seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai ‘Puan Hamnah’ wakil dari syarikat berkenaan pada November tahun lalu.

“Mangsa wanita itu mendakwa sebahagian perbelanjaan umrah itu akan ditanggung oleh penaja yang berpangkat ‘Datuk’ berjumlah RM5,000 dan peserta hanya akan bayar RM 2,200 seorang,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudiannya memindahkan wang bayaran umrah berjumlah RM2,200 ke dalam akuan sebuah syarikat yang diberikan oleh suspek pada 27 November tahun lalu.

“Seorang ejen syarikat berkenaan bernama ‘Puan Aisyah’ kemudian memaklumkan mangsa akan berlepas menunaikan umrah pada 1 Disember tahun lalu, namun pada tarikh yang diberikan, penerbangan batalkan dan digantikan dengan tarikh yang baharu iaitu pada 20 Disember.

“Namun pada 19 Disember, ‘Puan Aisyah’ memberitahu peserta yang ingin menarik diri daripada menunaikan umrah boleh berbuat sedemikian dan wang akan dikembalikan dalam masa tiga minggu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang berasa ditipu kemudian ingin menarik diri tetapi sehingga kini masih belum menerima pembayaran daripada syarikat berkenaan.

“Mangsa juga ada mendapat maklumat dalam kumpulan WhatsApp yang menyatakan wang berkenaan akan dipulangkan pada 14 Mac lalu tetapi sehingga hari ini wang berkenaan masih belum diterima.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis, semalam dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.