Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > 14 September Tarikh Keramat

14 September Tarikh Keramat

OLEH SHAHBUDIN HAJI EMBUN

Bersatunya dua parti terbesar Melayu Islam yang sekian lamanya sering bertelagah dan bermusuhan dalam Himpunan memeterai Piagam Muafakat Nasional antara Pas dan UMNO pada 14 September ini bakal mencatatkan sejarah baharu dalam arena politik negara. Begitulah yang sering dinyatakan oleh para pemimpin UMNO dan PAS serta ramai lagi pemerhati politik negara .

Memandangkan permuafakatan ini diterajui oleh UMNO dan PAS, maka bukanlah ssuatu yang mengejutkan apabila ada pihak yang memberi tafsiran bahawa kebangkitan dan permuafakatan umat Islam ini lebih bersifat politik .

Pandangan seperti itu tidak boleh kita nafikan. Namun pada masa yang sama pihak yang terlibat perlu membuktikan bahawa konsep persepakatan ini sebenarnya mempunyai pengertian dan objektif yang lebih meluas Sebenarnya banyak pihak yang telah lama berusaha untuk terus memperkasakan perjuangan dan penyatuan bangsa Melayu .

Contohnya pada tahun 2015, telah berlangsungnya Perhimpunan Perpaduan Melayu yang mana telah membantu sedikit sebanyak menggerakkan semangat Renaisans Melayu, agar bangsa Melayu dapat bergerak untuk sama-sama memaju dan memakmurkan kehidupan masyarakat Melayu serta seluruh masyarakat amnya.

Dalam perhimpunan yang diadakan pada 2015, kata sepakat telah dipersetujui bahawa bangsa Melayu perlu menjadi bangsa yang lebih hebat dan bukannya yang sentiasa mengharapkan ihsan dan bantuan. Keperibadian dan jati diri Melayu perlu sentiasa diperkasa.

Sememangnya kita tidak boleh menafikan juga yang bangsa Melayu telah banyak melalui pelbagai kejayaan dalam pelbagai bidang. Namun kita juga tidak boleh lalai , kerana banyak lagi hak dan kedudukan tentang bangsa Melayu yang mesti terus diperkasakan khasnya yang berkaitan dengan penguasaan ekonomi serta meningkatkan lagi pendidikan di kalangan masyarakat Melayu.

Itu sebabnya Bangsa Melayu mesti kuat kerana bangsa Melayu sebenarnya mempunyai tugas dan tanggungjawab yang penting dalam menentukan masa depan dan hala tuju negara.
Tidak dapat dinafikan yang Perhimpunan Perpaduan Ummah yang bakal berlangsung ini bakal menjadi satu anjakan progresif perpaduan bangsa Melayu dan mempunyai agenda yang lebih luas untuk mewujudkan kesedaran bangsa Melayu untuk bangkit dan bersatu.

Namun pada masa yang sama, perpaduan ummah ini perlu diangkat sebagai satu agenda yang lebih universal dan diterima oleh masyarakat majmuk di Malaysia. Agenda berkenaan seharusnya tidak hanya tertumpu kepada Islam dan Melayu semata-mata .

Dalam hal ini agenda bangsa serta agama lain juga mesti diberi keutamaan kepada rakan-rakan daripada pelbagai kaum terutama daripada pribumi Sarawak serta Sabah. Semangat seperti inilah yang akan turut memelihara kestabilan masyarakat majmuk di negara ini.

Kita tidak boleh menafikan bahawa perpaduan bangsa antara semua kaum di Malayia memainkan peranan penting dalam membentuk sebuah negara yang aman dan pada masa yang sama begitu progresif menuju cita-cita dan wawasan negara. Perpaduan antara semua kaum merupakan satu pegangan yang tidak boleh dikompromi.

Pada masa yang sama juga bangsa Melayu perlu sentiasa bangkit selaras dengan arus pembangunan yang sentiasa pesat membangun. Pemikiran harus lebih terbuka dan generasi hari ini perlu lebih banyak berfikir di luar kotak dan melihat dari mata burung dan bukannya hanya duduk senang lenang di bawah tempurung dan berpuas hati melepak di zon selesa.

Himpunan memeterai Piagam Muafakat Nasional antara Pas dan UMNO merupakan peluang dan pentas terbaik untuk membuktikan yang gabungan ini mampu mengurus Malaysia yang terdiri daripada pelbagai budaya serta agama.Inilah cabaran yang sebenarnya.

Apabila membincangkan tentang isu memperkukuh hubungan antara kaum, sebenarnya terdapat satu medium yang boleh dijadikan sebagai asas perpaduan. Kaedah ini bukanlah sesuatu yang baru, bahkan telah lama dijadikan sebagai bahan untuk menyatupadukan kita semua.

Apa yang penulis maksudkan ialah tentang penggunaan bahasa Melayu yang lebih meluas. Cuba bayangkan kalau semua bangsa di negara kita berbahasa Melayu dengan lebih fasih dan meluas.

Pastinya bahasa merupakan satu kaedah dan simbol perpaduan yang mesti dijadikan sebagai satu matlamat. Perlu diingatkan juga bahawa perpaduan ini juga akan menyedarkan kita semua tentang pentingnya hak bangsa Melayu seperti kedaulatan raja-raja Melayu, agama Islam, hak keistimewaan orang Melayu dan bahasa Melayu yang perlu dihormati dan dihayati oleh semua warganegara.

Sejarah bakal tercipta pada 14 September ini dan tidak kiralah dari kelompok mana yang akan datang ke perhimpunan itu nanti, apa yang lebih penting ialah semua pihak yang terbabit mesti ikhlas dan tidak mempunyai agenda yang menguntungkan diri sendiri. Mereka perlu menginsafi kesilapan yang pernah dilakukan dan bersikap jujur untuk sama-sama memainkan peranan untuk mengeratkan lagi perpaduan ini.

Shahbudin Embun
Pengerusi Biro Politik
Majlis Perundingan Melayu Malaysia

Leave a Reply

Top