Sebanyak 117 tan daun dan air ketum bernilai lebih RM3.5 juta dirampas polis sejak 2012 hingga penghujung bulan lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Kang Chez Chiang, berkata berdasarkan statistik, rampasan ketum setiap tahun menunjukkan angka membimbangkan.

“Pada 2012 hanya lima tan sahaja yang dirampas sebelum meningkat kepada lapan tan pada 2013, 16 tan (2014), 29 tan (2015) dan 44 tan (2016).

“Pada tahun ini sehingga April sahaja sudah 15 tan dengan rampasan terbaru pada 29 April lalu iaitu hampir satu tan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perlis, di sini, hari ini.

Chez Chiang berkata, berdasarkan siasatan sebahagian besar daun ketum yang masih belum diproses itu cuba diseludup ke negara Thailand berikutan permintaan tinggi selain nilai pasaran di negara itu tiga kali ganda daripada di Malaysia sebagai pendorong.

“Sejak 2012 hingga April lalu, seramai 16,523 individu termasuk warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan membabitkan ketum,” katanya.

Mengulas tangkapan terbaharu pada 29 April, Chez Chiang berkata seramai 18 lelaki termasuk empat warga Thailand berusia 19 hingga 36 tahun ditahan dalam tiga operasi di sekitar Padang Besar.

“Dalam operasi jam 2 hingga 5 pagi itu JSJN Bukit Aman, Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) dan JSJN IPK Perlis berjaya merampas 33 guni berisi 990kg ketum…kita turut merampas 17kg air ketum dalam 54 bungkusan plastik selain 290 botol ubat batuk dengan nilai rampasan RM25,000,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Racun 1952 dan semua suspek kini ditahan reman sehingga esok.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *