Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > 11 Pusat Tahanan Sementara PKP Beroperasi Khamis Ini

11 Pusat Tahanan Sementara PKP Beroperasi Khamis Ini

KUALA LUMPUR, Sebanyak 11 pusat tahanan sementara bagi menempatkan pesalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan mula beroperasi Khamis ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mewartakan pusat-pusat berkenaan semalam untuk dijadikan pusat tahanan baharu.

Katanya, ia sekali gus mengatasi kebimbangan penularan wabak COVID-19 serta penjarakan sosial jika ramai pesalah KPK ditahan di penjara sedia ada.

“Kementerian Kesihatan akan menyediakan petugas untuk memantau serta menyediakan kemudahan kesihatan di penjara (pusat tahanan sementara berkenaan),” katanya pada sidang media di Putrajaya yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Beliau menjelaskan, perkara itu selaras dengan pengumuman kerajaan mahu mewartakan 13 akademi Jabatan Penjara Malaysia untuk dijadikan pusat tahanan sementara mereka yang disabitkan oleh mahkamah bersalah melanggar PKP.

Rabu lalu, Ismail Sabri dilaporkan berkata, pusat tahanan baharu itu akan mengikut semua prosedur operasi standard (SOP) penjara termasuk peraturan dan undang-undangnya tanpa sebarang keistimewaan.

Keputusan berkenaan dicapai pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan PKP dan pewartaan akan dilakukan oleh KDN, manakala perincian perkara itu akan dibincangkan di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan Jabatan Penjara.

BH kemudian melaporkan, Jabatan Penjara Malaysia memaklumkan sudah bersedia menerima pesalah kes ingkar PKP di pusat latihannya, bermula di empat fasiliti, iaitu Akademi Koreksional Malaysia di Langkawi; Maktab Penjara Malaysia di Kajang; Pusat Latihan Pegawai Penjara di Taiping dan di Puncak Borneo, Sarawak.

Lokasi lain bakal diumumkan dalam masa terdekat selepas proses penyelarasan dilakukan oleh Jabatan Penjara dan KDN.

Leave a Reply

Top