MH Online

Laman Suara Rakyat

11 Program UPE Gagal Tingkat Pendapatan B40

11 Program UPE Gagal Tingkat Pendapatan B40

KUALA LUMPUR, Pelaksanaan 11 program di bawah Unit Perancangan Ekonomi (UPE) gagal meningkatkan pendapatan kumpulan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Ia sekali gus menyebabkan objektif utama Program Peningkatan Kapasiti dan Kapabiliti Kumpulan Khusus (PPKK) tidak tercapai.

Ia didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018 Siri 3 yang menjelaskan, sasaran penyertaan peserta ditetapkan UPE tidak tercapai dan tidak dapat disahkan, berikutan data dikemukakan tidak disertakan dengan dokumen sokongan lengkap.

Laporan itu menjelaskan, sasaran bilangan peserta gagal dicapai apabila jumlah penyertaan dikira sebagai output adalah 38,530 peserta iaitu 38.5 peratus kerana hanya 11 daripada 22 latihan atau program dilaksanakan memenuhi objektif PPKK.

Katanya, wujud kelemahan dalam pengurusan kewangan membabitkan prestasi perbelanjaan rendah iaitu hanya 54.4 peratus daripada keseluruhan peruntukan disalurkan, selain pelantikan agensi pelaksana atau penyedia perkhidmatan tidak mengikut garis panduan menyebabkan latihan atau program tidak bersesuaian dilaksanakan.

“Pengurusan peruntukan lemah oleh agensi pelaksana membabitkan perbelanjaan program tidak mengikut kelulusan, bayaran balik program dijalankan sebelum perjanjian ditandatangani bernilai RM3.50 juta, pindahan dana program tanpa kelulusan dan perbelanjaan tidak dibenarkan berjumlah RM377,000.

“Laporan program dikemukakan agensi pelaksana dan penyedia perkhidmatan adalah berbeza dengan baki dana sebenar. Laporan akhir program latihan kemahiran dikemukakan agensi pelaksana juga diragui kesahihannya,” katanya.

Laporan itu turut menjelaskan, wujud kelemahan pengendalian program oleh agensi pelaksana yang mana pemilihan 465 peserta tidak mengikut garis panduan ditetapkan, selain pembayaran bernilai RM2.16 juta tidak mengikut tatacara kewangan.

“Penyedia perkhidmatan juga melantik pihak ketiga untuk melaksanakan program bernilai RM870,000 bagi pihaknya tanpa kelulusan dan pemantauan tidak dilaksanakan dengan berkesan oleh Bahagian Pembangunan Ekuiti (BPE) mahu pun agensi penyelaras atau pelaksana,” katanya.