MH Online

Laman Suara Rakyat

11 Individu Minat Jadi Calon BN

11 Individu Minat Jadi Calon BN

IPOH, Setakat Jumaat lalu, seramai 11 individu termasuk dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Bahagian UMNO Gerik, menyatakan hasrat menjadi calon parti bagi mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik, bulan depan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad, berkata sesiapa lagi yang berminat menawarkan diri sebagai calon, mempunyai masa sehingga pukul 5 petang ini untuk menghantar profil mereka kepada Setiausaha Eksekutif UMNO Perak.

“Mereka yang berminat boleh menghantar maklumat sama ada dalam bentuk e-mel ataupun bercetak. Selepas itu, semua nama ini akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Parti sebelum diputuskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

Saarani yang juga Pengerusi BN Perak, bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat sulung Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) setelah beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak yang baharu, pada 10 Disember lalu.

Beliau berharap, semua yang menawarkan diri dapat bersedia dan reda sekiranya tidak terpilih sebagai calon yang bakal mewakili UMNO pada PRK Gerik yang ditetapkan 16 Januari depan.

Dalam pada itu, Saarani berkata, pihaknya merancang mengadakan majlis pengenalan calon BN seminggu lebih awal daripada tarikh penamaan calon yang ditetapkan Suruhjaya Pilihan Raya iaitu 4 Jan depan.

PRK Gerik akan diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Hasbullah Osman pada 16 November lalu, akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Allahyarham Hasbullah menewaskan Norhayati Kasim daripada PAS dengan majoriti 6,216 undi.

Allahyarham sekali lagi mempertahankan kerusi bagi kawasan itu pada PRU14 dengan majoriti 5,528 undi mengalahkan calon PAS, Mohd Dahalan Ismail dan calon BERSATU, Ibrahim Mohd Hanafiah.