Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > 100% Milikan Islam Layak Mohon Lesen Khas Umrah

100% Milikan Islam Layak Mohon Lesen Khas Umrah

PERMAISURI, Pemilikan 100 peratus oleh warga negara yang beragama Islam, adalah di antara syarat dikenakan terhadap agensi pelancongan sebelum layak memperoleh Lesen Khas Umrah, yang dikuatkuasakan bagi pengendalian pakej umrah ziarah mulai bulan ini.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata sejak permohonan mendapatkan lesen dibuka, 58 agensi sudah menerima kelulusan daripada 132 syarikat yang memohon.

Katanya, keputusan kelulusan lesen boleh dilihat dalam laman rasmi kementerian, www.motac.gov.my yang dikemas kini dari semasa ke semasa, selain pemakluman menerusi surat rasmi kepada semua syarikat,

“Bagi menggalakkan penggiat industri berkelayakan memohon lesen ini, kementerian memberikan beberapa kelonggaran dan memproses kelulusan segera ke atas semua agensi pelancongan yang mengemukakan permohonan sejak September lalu.

“Antara syarat utama dipertimbangkan adalah Perjanjian Muasassah atau Perjanjian dengan Syarikat Berstatus Muasassah yang lengkap dan dokumen sokongan yang diperlukan,” katanya ketika Program Kelestarian Eko Pelancongan dan Record Dive Longest Underwater Human Chain di Pulau Bidong, di sini, hari ini.

Mas Ermieyati berkata, bagi agensi yang belum mendapatkan kelulusan, permohonan mereka mungkin tidak dapat diproses ekoran tidak memenuhi syarat, selain dokumentasi tidak lengkap seperti Perjanjian Muasassah yang tamat tempoh.

Katanya, ketiadaan surat kementerian, bukti ahli lembaga pengarah atau pemegang saham 100 peratus warga negara dan beragama Islam, sijil Kursus Pemantapan Pengendalian Umrah, insuran, surat Kelulusan Ketua Jabatan, dan dokumen yang berkaitan juga menjadi faktor kelulusan tidak dapat diberikan.

“Syarikat yang memohon juga perlu bebas daripada siasatan dan kompaun disebabkan pelanggaran Akta Industri Pelancongan 1992, kes penipuan dan jenayah komersial serta pembatalan salah satu lesen Inbound, Outbound atau Ticketing (IOT).

“Bagaimanapun, kementerian sentiasa prihatin dan terus memproses permohonan yang diterima dari semasa ke semasa apabila syarikat berkenaan mengemukakan dokumen yang lengkap,” katanya.

Mas Ermieyati berkata, orang ramai tidak panik hingga membuat sebarang pembatalan pakej umrah yang sudah dibeli, kerana proses kelulusan lesen oleh kementerian masih dijalankan kepada 74 syarikat.

“Pemprosesan lesen ini mengambil masa 20 hari bekerja selepas dokumen lengkap diterima, manakala pengecualian yuran proses dan yuran lesen juga diberikan kepada semua syarikat yang layak memohon sehingga 31 Disember 2017 ini,” katanya.

Leave a Reply

Top