MH Online

Laman Suara Rakyat

10 Wanita Dilantik Ke Jawatan Kanan Di Institusi Agama Saudi

10 Wanita Dilantik Ke Jawatan Kanan Di Institusi Agama Saudi

Arab Saudi melantik 10 wanita untuk melaksanakan peranan penting di dua tempat paling suci sebagai usaha negara pengeluar minyak yang konservatif itu meningkatkan pekerjaan dalam kalangan golongan berkenaan.

Pelantikan wanita untuk jawatan kanan di institusi agama jarang-jarang berlaku dalam kerajaan Islam, yang mana ia adalah antara usaha liberalisasi meluas yang dipelopori Putera Mahkota Mohammed Salman.

Wanita berkenaan dilantik di dua masjid suci di Makkah dan Madinah membabitkan pelbagai jawatan termasuk pentadbiran dan teknikal, demikian menurut kenyataan oleh presiden am bagi hal ehwal dua masjid berkenaan.

Usaha pengambilan pekerja itu bertujuan “memperkasa wanita Arab Saudi dengan kelayakan dan kemampuan yang tinggi”, kata kenyataan itu.

Dua masjid suci itu sebelum ini mengambil 41 wanita bagi jawatan dalam kepemimpinannya pada 2018, menurut media Arab Saudi.

Putera Mohammed berusaha untuk meningkatkan pekerjaan bagi wanita sebagai sebahagian daripada “Wawasan 2030”, yang bertujuan mempelbagaikan ekonomi kerajaan dan menamatkan pergantungan negara itu terhadap minyak.

Berdasarkan angka rasmi, jumlah wanita bekerja di Arab Saudi mencapai 1.03 juta pada suku ketiga 2019 iaitu 35 peratus daripada jumlah tenaga kerja, berbanding 816,000 pada 2015.

Dalam pembaharuan lain, wanita di negara itu kini dibenarkan memandu kenderaan, panggung wayang dibuka kembali dan wanita serta lelaki dibenarkan bergaul di majlis, termasuk konsert dan tempat awam.

Bagaimanapun, pembaharuan itu turut disertai dengan tindakan keras terhadap perbezaan pendapat.

Arab Saudi menahan dan membawa ke mahkamah belasan aktivis wanita yang sudah lama berkempen bagi mendapatkan hak memandu, sekali gus mencetuskan kecaman meluas.

Sebilangan aktivis mendakwa mereka diseksa dan dianiaya secara seksual oleh penyiasat. – AFP