MH Online

Laman Suara Rakyat

10 Pemain Positif Covid-19 Liga Brazil Ditangguh

10 Pemain Positif Covid-19 Liga Brazil Ditangguh

Liga Bola Sepak Brazil menerima tamparan hebat apabila 10 pemain diuji positif Covid-19, sekali gus memaksa saingan ditunda pada saat akhir.

Seramai 10 pemain pasukan Goias didapati positif virus berkenaan menyebabkan perlawanan menentang Sao Paulo yang sepatutnya berlangsung semalam ditangguhkan pada saat akhir.

Keputusan mengangguhkan perlawanan dibuat Mahkamah Tinggi Sukan Bola Sepak dan dipersetuji oleh Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF).

Sebelum keputusan mahkamah diumumkan, seminit sebelum jadual perlawanan, kedua-dua pasukan kebingungan.

Pemain Sao Paulo FC sudah memanaskan badan di padang.

“Seramai 10 daripada 23 pemain kami diuji positif dan kami terpaksa menerima keputusan itu hari ini,” kata Presiden Goias, Marcelo Almeida kepada siaran televisyen Globo.

Menurut media Brazil, lapan daripada 10 pemain itu antara kesebelasan utama pasukan mereka.

Sao Paulo FC berkata, mereka lebih suka perlawanan ditangguhkan kerana ‘tiada yang lebih penting berbanding kesihatan’.

Musim bola sepak Brazil bermula semalam, selepas tiga bulan ditangguhkan kerana pandemik Covid-19.

Mengikut peraturan baharu oleh CBF, semua pemain dikehendaki menjalani ujian kurang 72 jam sebelum perlawanan. – AFP