Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > 10 Orang Lelaki Afrika Serang Polis Ditahan

10 Orang Lelaki Afrika Serang Polis Ditahan

KUALA LUMPUR, Polis menahan 10 lelaki susulan kes empat anggota polis diserang sekumpulan lelaki Afrika ketika menyerbu sebuah unit kediaman di Pangsapuri Flora Damansara, Petaling Jaya, dekat sini, kelmarin.

Dalam kes serangan itu, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya terdiri daripada seorang pegawai dan tiga anggota pada mulanya mengetuk pintu kediaman seorang suspek warga Nigeria yang disyaki terbabit kes tipu, kira-kira jam 10.50 malam.

Bagaimanapun, kehadiran polis tidak diendahkan penghuninya dan selepas hampir 10 minit, anggota polis mengambil keputusan memecahkan pintu dan mendapati ada lima individu di dalamnya termasuk tiga wanita, kesemuanya warga Nigeria.

Ketika diminta mengemukakan dokumen perjalanan, lima penghuni terbabit enggan bekerjasama sebaliknya bertindak agresif dan memarahi anggota polis terbabit.

Beberapa minit kemudian, sekumpulan kira-kira 50 lelaki Afrika berkumpul di hadapan pintu sambil menjerit-jerit mengarahkan polis beredar dari kediaman itu.

Anggota polis memberi amaran untuk tidak mencampuri urusan mereka namun tidak diendahkan sebaliknya kumpulan lelaki berkenaan bertindak agresif dengan membaling kayu, botol dan selipar selain melemparkan kata-kata kesat terhadap anggota polis.

Beberapa lelaki Afrika itu kemudian menarik keluar anggota polis sebelum mereka diserang dan dipukul.

Pada masa sama, lima suspek yang berada dalam rumah yang tidak sempat ditahan itu berjaya meloloskan diri keluar ketika kekecohan berlaku.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata keempat-empat anggota JSJK terbabit akhirnya berjaya meloloskan diri dan meminta bantuan.

“Sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan balai berhampiran berkejar ke lokasi dan terus bertindak mengesan kesemua suspek yang terbabit dalam kejadian itu.

“Seramai 10 warga Afrika ditahan, yang mana salah seorang daripada mereka patah kaki ketika cuba melarikan diri.

“Kesemua suspek direman empat hari mulai hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis tidak berkompromi dan tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang melanggar undang-undang negara termasuk menghalang tugas penjawat awam.

Difahamkan, tiga anggota JSJK terbabit cedera ringan dan seorang lagi yang mengalami kecederaan di muka dan kepala dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.

Leave a Reply

Top