MH Online

Laman Suara Rakyat

1 Juta Topeng Muka Tiba Esok

1 Juta Topeng Muka Tiba Esok

KUALA TERENGGANU, Isu kehabisan stok topeng di seluruh negara dijangka semakin reda apabila bekalan dianggarkan melebihi satu juta yang diimport dijangka tiba mulai esok.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, menjelaskan pembekal utama bahan itu mengesahkan bekalan yang diimport daripada luar negara dijangka tiba esok.

Tegasnya, pembekal diberi kebenaran kerajaan untuk mengimport topeng daripada luar negara selepas mendapati bahan itu kehabisan berikutan penularan COVID-19.

“Kita dimaklumkan, pembekal bahan itu mengimport topeng daripada luar negara dianggarkan melebihi satu juta keping,” dipetik sebagai berkata.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu menjelaskan, bekalan bahan itu kehabisan di seluruh negara sejak awal bulan lalu bukan disebabkan aktiviti menyorok yang bertujuan untuk menaikkan harga.

Sebaliknya, jelasnya, hanya lima peratus sahaja topeng dihadkan untuk pasaran negara dan bakinya terpaksa dieksport kepada negara yang mengeluarkan bahan mentah.

“Hasil perjumpaan dengan pekilang dan pengeluar utama topeng di negara ini Selasa lalu, kerajaan mengarahkan mereka menambah bekalan untuk pasaran dalam negara antara 20 peratus dan 35 peratus.

“Pengeluar terpaksa mengimport topeng ke luar negara disebabkan mematuhi perjanjian dengan pengeluar bahan mentah, ” katanya.

Ketika mengulas dakwaan bekalan bahan itu tidak mencukupi disebabkan ada antara peniaga melakukan aktiviti menyorok, Rosol menafikan sambil menjelaskan, jika ada aktiviti menyorok, sudah tentu berlaku lambakan apabila kerajaan mengumumkan topeng adalah barangan kawalan.

“Siasatan dilakukan pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KDNHEP) mendapati pembelian secara panik menyebabkan topeng kehabisan stok.

“Harga topeng ditetapkan kerajaan adalah RM2 sekeping dan jika ada peniaga yang menjual bahan itu melebihi harga ditetapkan, mereka akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 11, Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Rosol berkata, peniaga yang didapati bersalah menaikkan harga semua jenis topeng muka boleh dikenakan tindakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.