MH Online

Laman Suara Rakyat

1.85 Billion Dikumpul Untuk Tabung Endowment IPTA

Sebanyak RM 1.85 bilion berjaya dikumpul hasil tabung endowment yang ditubuhkan di 20 universiti awam sehingga Jun 2017.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kutipan tertinggi dicatatkan Universiti Malaya iaitu RM1.6 bilion diikuti oleh Universiti Kebangsaan Malaysia dengan RM71 juta.

Sementara itu, katanya, universiti awam turut mempunyai tabung wakaf sebagai salah satu sumber penjanaan yang penting untuk kelestarian universiti.

“Sehingga kini, terdapat 13 universiti awam yang telah menubuhkan pusat wakaf dan mendapat kelulusan Majlis Agama Islam Negeri (Main). Tujuh universiti awam lain masih dalam proses untuk dapatkan kelulusan Main.

“Jumlah kutipan wakaf setakat ini daripada 13 universiti awam ialah sebanyak RM23.05 juta. Kutipan tertinggi adalah RM8 juta daripada Universiti Putra Malaysia diikuti Universiti Sultan Zainal Abidin (RM4.84 juta),” katanya menjawab soalan Datin Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) di sesi Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Idris, kementeriannya juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk membolehkan penyumbang wakaf mendapat insentif pengecualian cukai.

“Untuk penyumbang tabung endowment memang sudah ada insentif pelepasan cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan,” katanya.

Katanya lagi, selain insentif cukai, penyumbang tabung endowment dan wakaf juga akan menerima insentif kerohanian.

“Bagi mereka yang memberi, biasanya mereka akan dapat kepuasan daripada pemberian mereka. Pemberi sumbangan wakaf misalnya, mereka tahu akan dapat pahala kerana wakaf adalah satu bentuk sedekah jariah,” katanya.