Anda di sini!
Utama > Sukan > Zidane Tak Perlu Pemain Baru

Zidane Tak Perlu Pemain Baru

Zinedine Zidane berkata dia tidak perlu menandatangani pemain baharu pada jendela perpindahan bulan ini sekali pun Real Madrid sedang ketinggalan 16 mata di belakang pendahulu La Liga, Barcelona.

Real yang diundi bertemu gergasi Perancis, Paris St Germain (PSG) pada peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara ketika ini menghuni tangga keempat liga dan mengharungi kempen domestik penuh mengecewakan.

Barcelona menoktahkan perjanjian bernilai AS$190 juta (RM762.51 juta) untuk mendapatkan perancang Liverpool, Philippe Coutinho pada Isnin yang memecahkan rekod perpindahan kelab berkenaan tetapi Zidane mahu mengekalkan skuad sedia ada.

“Saya tidak memerlukan sesiapapun (untuk ditandatangani) dan itu saja. Tiada siapa pun yang saya mahukan, saya tidak mahu apa-apa,” kata Zidane.

“Kami memiliki pasukan, saya percaya dengan skuad saya. Ada masa pada musim ini yang sukar tetapi segala-galanya berada di depan kami dan kami akan lihat apa yang berlaku dari sekarang sehingga penghujung musim.”

Real tumbang 3-0 kepada Barcelona di Santiago Bernabeu pada aksi El Clasico, Disember lalu dengan media Sepanyol menggambarkan juara Sepanyol dan Eropah itu sedang dilanda krisis.

Bekas bintang Real itu lewat satu setengah jam bagi menghadiri sidang media selepas mengadakan perbincangan panjang dengan pemainnya sebelum latihan.

“Saya tidak akan beritahu kamu apa yang kami cakapkan tetapi perbincangan ini boleh berlaku kepada mana-mana pasukan,” kata Zidane.

“Kami boleh menganalisa seperti mana yang kamu suka dan berkata kami berada dalam tempoh krisis. Tetapi apa yang kami mahukan adalah penyelesaian, bercakap mengenainya dan cuba untuk menjadi lebih baik.” – REUTER

Leave a Reply

Top