Anda di sini!
Utama > Luar Negara > Zahid Lakukan Lawatan Kerja Ke Washington DC

Zahid Lakukan Lawatan Kerja Ke Washington DC

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan melakukan lawatan kerja ke Washington DC dari 29 Mac hingga 4 April bagi menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear.

Sidang kemuncak itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Walter E. Washington pada 31 Mac dan 1 April, kata kenyataan dikeluarkan Pejabat Timbalan Perdana Menteri hari ini.

Sidang kemuncak tahun ini akan memberi fokus terhadap langkah melindungi plutonium dan uranium gred senjata bagi mencegah keganasan nuklear.

Semasa lawatan itu, Ahmad Zahid akan mengadakan mesyuarat berasingan dengan agensi berkaitan risikan, termasuk timbalan setiausaha Jabatan Negara Amerika Syarikat dan Keselamatan Tanah Air Amerika Syarikat.

“Isu dibincangkan dijangka berkisar mengenai kerjasama dua hala iaitu isu jenayah rentas sempadan seperti usaha memerangi keganasan dan pemerdagangan orang, termasuk kemajuan kemasukan Malaysia ke dalam Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat.

Ahmad Zahid juga dijadual menghadiri satu sesi khas di American University di Washington pada 2 April untuk berkongsi pemikiran dan pandangan beliau mengenai keganasan dan radikalisme.

Sementara itu, sidang kemuncak berkenaan akan mengeluarkan satu kenyataan bersama, yang menyaksikan negara peserta memberi komitmen untuk meningkatkan keselamatan nuklear, mengurangkan ancaman keganasan nuklear dan melindungi semua bahan nuklear rentan.

Sidang kemuncak keselamatan nuklear pertama kali diadakan di Washington DC pada 2010, kemudian di Seoul pada 2012 dan The Hague pada 2014.

Lebih 50 negara dan empat organisasi antarabangsa, antaranya United Kingdom, Australia, China, Mesir dan Jerman, akan menyertai sidang kemuncak keempat ini.

Leave a Reply

Top