Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > TPM Sarapan Bersama Sahabat Lama Dan Penduduk Hutan Melintang

TPM Sarapan Bersama Sahabat Lama Dan Penduduk Hutan Melintang

mh online

Cuaca cerah pada pagi ini dimanfaatkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang pulang untuk meninjau keadaan kawasan diwakilinya, untuk bersarapan bersama-sama penduduk setempat.

image

Biarpun jadual sebagai timbalan perdana menteri amat padat, Zahid tetap memenuhi undangan bersarapan di rumah rakan karibnya berbangsa Tionghoa, Beng Song Wan, 53, di Taman Desa Bersatu, Simpang Empat di sini.

Anggota Parlimen Bagan Datoh itu tiba pada pukul 9.30 pagi bersama-sama beberapa Exco kerajaan negeri dan meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk menikmati juadah sarapan sambil beramah mesra dengan anggota keluarga Beng termasuk ibunya Cheah Seoh Lian, 75, serta kira-kira 100 penduduk setempat yang turut hadir.

Menu yang dihidangkan termasuk ubi kayu rebus dan sambal bilis, nasi lemak, rendang ayam, soto dan pecal.

Ketika ditemui pemberita, Beng berkata beliau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Zahid dua hari lepas mengundangnya bersarapan ketika timbalan perdana menteri itu sedang melakukan lawatan kerja di Beijing, China.

“Saya tak sangka Datuk Seri membalas ‘saya setuju’ dan saya terus membuat persiapan,” katanya yang dikenali dengan nama ‘Bujang’ dalam kalangan rakan.

Bapa kepada dua anak itu telah bersahabat dengan Zahid sejak 25 tahun lalu.

“Tiap-tiap Tahun Baharu Cina Datuk Seri akan pergi ke kedai gas saya dan kali terakhir beliau datang ke rumah saya dua tahun lepas ketika masih menjadi Menteri Pertahanan,” katanya.

Ahmad Zahid kemudiannya beredar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari di Sungai Sumun untuk menghadiri majlis pelancaran program Karnial Sambutan Jubli Intan sekolah itu.

Leave a Reply

Top