BESUT, Yayasan Islam Terengganu (YIT) merancang merombak kokurikulum pengajaran Matematik peringkat Tadika YIT agar selaras dengan sistem pengajaran di peringkat sekolah kebangsaan sekarang.

Ketua Penolong Pengarah Pendidikan YIT, Wan Aidi Rahmat Wan Abd Rahman berkata pihaknya terpaksa mengikut perkembangan semasa yang menitikberatkan kemahiran berfikir dalam mengolah soalan.

Katanya, rombakan itu perlu bagi memastikan kanak-kanak lepasan Tadika YIT dapat bersaing dan bersedia dengan perkembangan semasa.

“Untuk itu guru dari Tadika YIT akan menyertai kursus bagi memberikan kefahaman supaya persediaan awal dibuat agar setiap pengajaran matematik di peringkat Tadika YIT menepati perkembangan semasa,” katanya ketika berucap di majlis konvokesyen 162 kanak-kanak berumur enam dan lima tahun Tadika Yayasan Islam Terengganu Cawangan Besut di Kampung Raja di sini pada rabu.

Wan Aidi Rahmat memberitahu YIT juga sedang memilih ikon berbakat daripada setiap Tadika YIT di seluruh negeri dengan memulakan Program Mencari Bakat di kalangan kanak-kanak berumur lima dan enam tahun selaras dengan saranan kepimpinan negeri.

Katanya, bakat kanak-kanak perlu diketengahkan dan dipupuk  sejak  kecil sebagai satu daripada cara menyara kehidupan apabila dewasa kelak.

“Ikon bakat itu dicari dalam pelbagai bidang yang dapat dilihat daripada perkembangan mereka ketika belajar di tadika membabitkan bidang sukan, bersyarah, melukis, mengarang, membaca al-Quran dan sebagainya,” ujarnya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *