Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Wujud Cubaan Culik PM – TPM

Wujud Cubaan Culik PM – TPM

mh online

Pasukan keselamatan negara telah berjaya mengekang dan menggagalkan beberapa plot rancangan serangan keganasan oleh kumpulan Daesh, menculik pemimpin negara termasuk perdana menteri, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan selain Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, turut menjadi sasaran ialah beliau sendiri dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Pada 30 Jan 2015, sebanyak 13 individu dikaitkan Daesh merancang menculik pemimpin tertinggi negara termasuk perdana menteri dan menteri KDN dan menteri pertahanan,” katanya.

Ahmad Zahid menjawab soalan Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) yang meminta penjelasan mengenai kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menggagalkan plot rancangan serangan pengganas IS atau Daesh di negara ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata selain penculikan, kumpulan itu turut merancang serangan ke atas rumah ibadat, tempat tumpuan ramai, merompak senjata api dari kem tentera dan rompakan wang tunai yang dipercayai bagi dijadikan dana untuk kegiatan mereka.

Katanya walaupun tiada cawangan Daesh di negara ini, namun mereka yang terpengaruh dengan ideologi kumpulan militan itu menerima arahan terus daripada kumpulan itu di Syria yang diketuai oleh Abu Bkar al-Baghdadi.

Menurut Ahmad Zahid, kegiatan kumpulan Daesh di negara ini agak ketara sepanjang September 2014 sehingga Mei 2015 dan dalam tempoh berkenaan, pasukan keselamatan mengesan empat perancangan kumpulan pengganas itu untuk melakukan serangan di beberapa lokasi di Kedah, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Melihat kepada perkembangan ancaman kumpulan pengganas Daesh ini, satu tindakan bersepadu dan holistik perlu dan telah dilaksanakan untuk menanganinya, untuk itu KDN dan PDRM secara berterusan menjalin kerjasama, berkongsi maklumat dengan agensi luar negara khususnya dari negara-negara ASEAN,” katanya.

Menurutnya, hasil daripada kerjasama tersebut pemantauan rapi untuk menjejaki mereka yang terlibat dengan kumpulan pengganas itu dapat dilaksanakan dan nama individu yang terlibat dipanjangkan kepada Jabatan Imigresen untuk disenaraihitamkan dan dimasukkan ke dalam senarai syak.

“Pergerakan mereka yang disyaki terlibat Daesh juga dipantau di pintu masuk negara. Kerajaan juga merancang untuk menggunakan Advanced Passengers Screening System (ATSS) iaitu membuat saringan awal pelancong yang ingin memasuki negara ini sebelum mereka berlepas daripada negara asal untuk pastikan setiap warga asing dapat ditapis kemasukan mereka dengan terperinci,” katanya.

Jelasnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia turut memantau media sosial yang menjadi medium komunikasi kumpulan yang terpengaruh dengan Daesh.

Menerusi undang-undang pula, mereka yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan Akta Kesalahan-Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)(Sosma) 2012 dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 2013 perlu menjalani program pemulihan dengan modul pemulihan bersepadu melibatkan agensi seperti PDRM, Jabatan Penjara, KDN, Jakim dan pertubuhan bukan kerajaan terpilih.

Ahmad Zahid berkata kejayaan individu yang menjalani proses pemulihan kini mencapai tahap 97.5 peratus, dengan kebanyakan individu tersebut menyesal terlibat dengan kumpulan militan berkenaan.

“Mereka yang pulang dari Syria dan Iraq dan ditahan, ketika disoal kebanyakannya memberitahu penglibatan mereka di sana hanya indah khabar dari rupa. Mereka langsung tidak terlibat bersama-sama mengangkat senjata tapi ramai yang menyesal kerana diberi tugas seperti cuci tandas dan hanya sapu sampah di jalanan.

“Berdasarkan maklumat mereka, kebanyakan yang meninggal tak terlibat dalam pertempuran tetapi mereka pergi ke kawasan berkenaan untuk kononnya mati syahid. Ini semua sia-sia,” katanya.

Katanya sehingga kini pihaknya meningkatkan siapsiaga antara agensi terlibat bagi mengesan elemen keganasan, meningkatkan kawalan di lokasi-lokasi yang berisiko menjadi sasaran seperti kawasan tumpuan pelancongan, kedutaan dan bangunan kerajaan, serta meningkatkan kerjasama dengan orang awam supaya melapor sebarang aktiviti mencurigakan.

Leave a Reply

Top