Anda di sini!
Utama > Sukan > Wenger Pintas Rekod Ferguson

Wenger Pintas Rekod Ferguson

Arsene Wenger memintas rekod Alex Ferguson selaku pengurus paling senior dalam aksi Liga Perdana ketika menyaksikan anak buahnya seri 1-1 di West Bromwich Albion awal pagi tadi tetap ia tidak menghalang beliau untuk sekali lagi meluahkan rasa tidak puas hatinya.

Pengadil, Mike Dean menghadiahkan penalti kontroversi pada lewat permainan sekali gus menafikan kemenangan Arsenal dan Wenger pantas berang dengan keputusan pegawai perlawanan.

“Ia sesuatu yang sukar untuk diterima,” kata Wenger.

“Ia bukan sekadar keputusan biasa dan ini bukan kali pertama kami menghadapinya. Tetapi adalah lebih baik sekiranya kami tidak bercakap soal itu. Kami sedar apa yang berlaku dan kami terpaksa menelannya.”

“Saya tidak melihatnya” – ayat itu sudah menjadi jawapan biasa Wenger setiap kali keputusan pengadil memihak kepada Arsenal tetapi pengendali Perancis itu jelas tidak senang apabila pegawai perlawanan memberikan keputusan yang bercanggah dengan kehendaknya.

Imej yang memaparkan wajahnya kelihatan keliru ketika diarahkan meninggalkan kawasan tepi padang pada perlawanan menentang Manchester United di Old Trafford pada 2011 sudah tidak lagi diingati tetapi Wenger semakin berani bertelagah dengan pegawai perlawanan sejak kebelakangan ini.

Beliau pernah dikenakan hukuman gantung empat perlawanan, Januari lalu kerana menolak pegawai perlawanan keempat ketika pasukannya menang 2-1 ke atas Burnley.

Kemudian, beliau meluahkan rasa kecewanya apabila Raheem Sterling memperoleh penalti untuk Manchester City selain menjaringkan gol dalam kedudukan ofsaid ketika pasukannya tewas 1-3, November lalu dan ia benar-benar mencetuskan rasa tidak puas hatinya.

“Saya rasa pengadil perlawanan tidak menjalankan tugas dengan baik dan tahap mereka menurun setiap musim,” kata Wenger.

“Secara keseluruhannya, ia tidak boleh diterima.”

Ketika Arsenal berada di landasan terbaik untuk mencatat kemenangan ketiga sepanjang tujuh aksi liga di West Brom – perlawanan kendalian Wenger yang ke-811 – Calum Chambers didakwa memegang bola dalam kotak penalti.

Pemain Arsenal, Hector Bellerin, Jack Wilshere dan Petr Cech dilayangkan kad kuning kerana membantah keputusan pengadil dan Jay Rodriguez menambah berang pelawat apabila menyempurnakan penalti untuk menghadiahkan satu mata buat West Brom.

Reaksi Wenger pula seperti biasa.

“Sudah bertahun-tahun saya menuntut pengadil supaya lebih profesional tetapi malangnya, tahap mereka tetap tidak meningkat,” kata Wenger yang sudah mengendalikan Arsenal sejak 21 tahun lalu.

Wenger mendesak supaya sistem VAR (Video Bantuan Pengadil) diperkenalkan di Liga Perdana tetapi selagi ia tidak diamalkan, selagi itulah beliau dan beberapa pengendali lain akan terus mengkritik pengadil. – Reuters

Leave a Reply

Top