Anda di sini!
Utama > Sukan > Wei Feng Tersingkir Daripada All England

Wei Feng Tersingkir Daripada All England

mh online

Pemain badminton nombor dua negara, Chong Wei Feng tersingkir daripada Kejohanan Badminton Terbuka All-England 2016 di Barclaycard Arena, Birmingham apabila kalah pada perlawanan kelayakan kedua pagi ini.

Menurut laman sesawang kejohanan, www.allenglandbadminton.com, pemain kelahiran Kedah berusia 28 tahun itu kalah 21-10, 21-17 kepada pemain Jepun, Kenta Nishimoto.

Nishimoto pula dijangka berdepan laluan sukar selepas ini kerana perlu menentang pemain nombor satu dunia, Chen Long dari China dalam pusingan pertama undian utama yang dijadual berlangsung lewat malam ini.

Sementara itu, jaguh badminton kebangsaan, Datuk Lee Chong Wei, yang memburu gelaran juara All-England untuk kali keempat setelah memenanginya pada 2010, 2011 dan 2014 – akan bertemu pemain India, B. Sai Praneeth awal Khamis (waktu (Malaysia).

Dalam acara perseorangan wanita, Tee Jing Yi (Malaysia) akan menentang pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia Jakarta 2015, Lindaweni Fanetri (Indonesia), manakala bagi acara beregu wanita, Sannatasah Saniru (Malaysia), yang berpasangan dengan Nadia Fankhauser dari Switzerland, akan berdepan dengan pasangan Jerman, Isabel Herttrich-Birgit Michels.

Pasangan yang memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik London 2012, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pula akan bertemu pasangan India, Manu Attri-B. Sumeeth Reddy, manakala Goh V Shem-Tan Wee Kiong akan menentang Bodin Issara-Nipitphon Puangpuapech dari Thailand dalam acara beregu lelaki.

Pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pula akan menentang Ko Sung Hyun-Kim Ha Na dari Korea Selatan.

Leave a Reply

Top