SHAH ALAM, Pengaruh kuat watak animasi ‘Upin dan Ipin’ selaku Duta Pelancongan Malaysia di beberapa negara ASEAN mampu meningkatkan lagi kedatangan pelancong ke negara ini pada masa depan, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata faktor penerimaan watak animasi berkenaan yang merangkumi pelbagai peringkat umur kini dijadikan sandaran untuk ?mencuri’ perhatian pelancong dari pelbagai negara khususnya China dan India susulan langkah pemegang hak milik harta intelek itu, Les’ Copaque Production Sdn Bhd (Les’ Copaque) yang dijangka melebarkan pengaruhnya ke dua lokasi berkenaan tahun depan.

“Disebabkan watak animasi tersebut juga telah mempengaruhi sebahagian besar rakyat negara ini, maka untuk sektor pelancongan domestik, Upin dan Ipin akan memainkan peranan cukup penting untuk menggalakkan lagi rakyat terus mengunjungi tempat-tempat menarik dalam negara.

“Malah, pengaruh sama yang diraih dalam pasaran sedia ada seperti Indonesia, Brunei dan Singapura pula akan digunakan untuk menarik pelancong potensi dari negara-negara lain juga,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke pejabat produksi berkenaan di sini, hari ini.

Pada sesi lawatan itu, Mohamed Nazri menyampaikan sijil pelantikan Duta Pelancongan Malaysia bagi watak animasi ‘Upin dan Ipin’ kepada Pengarah Urusan Les’ Copaque, Burhanuddin Md Radzi selepas pengumuman mengenainya dibuat pada Julai lepas.

Watak animasi pasangan kembar itu merupakan duta pelancongan terbaharu atau ke-12 yang dilantik selepas beberapa selebriti terdahulu antaranya Prof Datuk Dr Jimmy Choo, penyanyi Yunalis Mat Zara’ai dan cef terkemuka, Datuk Ismail Ahmad.

Menurut Mohamed Nazri lagi, ini merupakan kali pertama kementerian berkenaan melantik watak animasi sebagai duta pelancongan dan pemilihan tersebut berdasarkan pengaruh ‘Upin dan Ipin’ yang besar di luar negara.

Katanya perancangan jangka panjang Les’ Copaque untuk membina taman temanya sendiri bagi menarik kehadiran peminat pasangan kembar itu dari pelbagai negara ke Malaysia juga bakal memberi impak yang signifikan kepada industri pelancongan negara.

Mengulas mengenai jumlah ketibaan pelancong setakat ini, Mohamed Nazri berkata rekod keseluruhan menunjukkan peningkatan 24 peratus dalam enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Katanya sepanjang tahun lepas, perbelanjaan pelancong yang melawat negara ini adalah sebanyak RM82 bilion dengan 73 peratus ketibaan pelancong adalah dari negara ASEAN.

“Setakat ini, pelancong dari negara ASEAN saja meningkat dua peratus menjadikan jumlah keseluruhannya 75 peratus dan kelompok ini disasar untuk terus menyumbang kepada industri pelancongan negara,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *