Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Wanita Selangor Desak Shahrizat Dilantik Menteri

Wanita Selangor Desak Shahrizat Dilantik Menteri

KUALA LUMPUR, Wanita UMNO Selangor menyokong cadangan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Sokongan itu dinyatakan Ketua Wanita UMNO Puchong, Hasnah Din, ketika berucap membahaskan usul politik pada perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO di Dewan Tun Dr Ismail.

Pada masa sama, beliau turut mendesak supaya Ketua Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, dilantik sebagai menteri penuh dalam Kabinet, sejajar dengan agenda memperkasakan wanita seperti mana diisytiharkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika membentangkan bajet 2018 pada 27 Oktober lalu.

“Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri telah mengangkat lagi peranan wanita dengan mengisytiharkan 2018 sebagai Tahun Memperkasa Wanita.

“Justeru, saya berharap agar permintaan ini (untuk melantik Ketua Wanita sebagai Menteri penuh) dapat ditunaikan,” katanya.

Hasnah berkata, agenda wanita hari ini perlu dilihat dalam konteks nasional dan global kerana ia saling berkait dengan keperluan rakyat, persekitaran dan ekonomi secara keseluruhan.

Beliau berkata, kedudukan wanita hari ini juga tidak hanya terhad dalam sektor korporat saja, tetapi turut diangkat sebagai pembuat keputusan menerusi pelantikan sebagai Ahli Lembaga Pengarah (ALP).

“Kita bangga apabila 843 wanita atau 13 peratus daripada keseluruhan 6,491 ALP adalah wanita,” katanya.

Katanya, pihaknya turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri bahawa syarikat senaraian awam yang tidak melantik ahli Lembaga pengarah di kalangan wanita tidak akan diberikan kontrak oleh kerajaan.

Ia bagi memastikan sasaran 30 peratus penempatan wanita sebagai ALP dalam syarikat senaraian awam menjelang tahun 2020 dapat dicapai seperti yang ditetapkan kerajaan pada 2011.

“Selain itu, Perdana Menteri juga ingin melihat lebih ramai golongan wanita dilantik sebagai Senator di Dewan Negara dengan meletakkan 30 peratus kuota senator diisi oleh wanita.

“Ini membuktikan Kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) sentiasa peka dan mengamalkan dasar inklusif dalam memastikan hasrat wanita terbela,”katanya.

Hasnah yang mewakili Wanita UMNO Selangor turut menyatakan kesetiaan tidak berbelah bahagi terhadap Presiden serta kepemimpinan parti.

“Kami tidak pernah merajuk walaupun dicerca dan dibuli secara fizikal mahupun mental, kami tetap teguh bersama mengharungi badai politik tanpa rasa lelah dan kecewa.

“Oleh itu, kami Wanita UMNO Selangor menyeru semua Ketua Bahagian, Negeri dan Negara sentiasa bersama Wanita…Hayatilah pengorbanan kami, pimpinlah kami bersama dan pastikan segala perutukan diagihkan secara telus,” katanya.

Leave a Reply

Top