KLUANG, Berkuat-kuasa serta-merta, pemaju di Johor diwajibkan menjual dahulu unit perumahan bukan Bumiputera sebelum membuat permohonan pelepasan lot Bumiputera.

EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday, berkata dasar baharu itu adalah antara 10 syarat permohonan pelepasan lot Bumiputera yang disarankan Jawatankuasa Panel Penasihat Perumahan dan akan dilaksanakan kerajaan negeri.

Katanya, sebelum ini tiada dasar yang mewajibkan pemaju menjual dahulu unit bukan Bumiputera (lot awam) sebelum memohon melepaskan lot Bumiputera.

“Dasar baharu yang lebih ketat ini dilakukan selepas jawatankuasa khas menilai serta mengenal pasti kelemahan dalam pengurusan perumahan Bumiputera di negeri ini sekali gus menambah baik kelompangan dasar sedia ada.

“Selain itu, pemaju juga disyaratkan hanya boleh membuat permohonan pelepasan lot Bumiputera selepas kemajuan fizikal di tapak projek mencapai 70 peratus berbanding 50 peratus sebelum ini.

“Tempoh permohonan pelepasan juga dinaikkan kepada 12 bulan daripada tarikh duti setem perjanjian tambahan antara pemaju dan kerajaan negeri berbanding sembilan bulan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat projek perumahan KSL di Taman Mengkibol, di sini.

Mac lalu, Md Jais mengumumkan satu Jawatankuasa Panel Penasihat Perumahan akan ditubuhkan di Johor bagi mengkaji prosedur berhubung pengagihan rumah dan pelbagai isu hartanah di negeri ini.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *