Anda di sini!
Utama > Terkini > VIRAL HARGA GETAH DI THAILAND LEBIH TINGGI TIDAK BENAR

VIRAL HARGA GETAH DI THAILAND LEBIH TINGGI TIDAK BENAR

mh online

image

Viral di laman-laman sosial mengenai harga getah yang dijual dua kali ganda lebih tinggi di negara jiran, Thailand berbanding negara ini baru-baru ini adalah tidak benar.

Sebaliknya, penoreh getah di negara ini menerima harga jualan hasil tanaman itu yang lebih tinggi berbanding di Thailand dan negara-negara pengeluar getah utama lain termasuk Indonesia dan Vietnam.

Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, beliau kesal kerana berita yang tersebar itu dibuat tanpa berasaskan fakta.

“Lebih-lebih lagi apabila berita ini digunakan oleh pihak pembangkang untuk menipu rakyat.

“Malah, Thailand menjual getah kepada kita kerana harga yang lebih tinggi,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Penyampaian Zakat kepada seramai 216 pekebun kecil oleh anak syarikat RISDA, Espek Plantation dan RISDA Baja di sini hari ini.

Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar mengulas berhubung isu yang menjadi viral di Internet mengenai harga getah di negara ini yang dijual lebih rendah berbanding di Thailand.

Berdasarkan dakwaan itu, harga getah skrap di negara ini dijual pada harga RM2.20 sekilogram manakala di negara jiran tersebut, RM4.30.

Zahidi seterusnya mengakui harga getah pada masa ini merudum disebabkan kerana getah sintetik yang semakin murah diperoleh berikutan kejatuhan harga minyak dunia.

Bagaimanapun katanya, langkah-langkah tertentu telah diambil oleh pihak RISDA termasuk bakal memperkenalkan tanaman sampingan kepada pekebun kecil sebagai menambah pendapatan golongan itu.

“Antara tanaman yang kita cadangkan adalah sejenis pokok balak dinamakan Paulownia dan sesuai digunakan untuk tujuan pembuatan perabot.

“Beberapa syarikat dari China telah mencadangkan kita menanam pokok ini. Ia dikatakan mampu memberi pulangan da­lam tempoh dua tahun dengan jangka hayat pokok adalah tujuh ta­hun.

“Jika berjalan lan­car, pada tahun ini, RISDA akan memberi pokok-pokok ini se­cara percuma kepada pekebun untuk ditanam di kawasan rumah mereka,” katanya yang memberitahu, Paulownia mendapat pasaran luas di China dan Korea.

Paulownia yang merupakan sejenis pokok balak berasal dari China serta digunakan penduduk sejak 2,600 tahun lalu itu, boleh membesar setinggi enam meter.

Selain mempunyai kadar tumbesaran yang cepat di negara beriklim tropika dan Khatulistiwa, pokok itu juga kurang penjagaan serta berkualiti tinggi untuk dijadikan perabot disebabkan kayunya keras.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top