SEPANG, Seramai 16 pelajar dari Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah dan tiga guru pengiring berlepas ke Makkah untuk menunaikan umrah hari ini, yang dibiayai sepenuhnya oleh Vida Beauty Sdn Bhd (Vida Beauty).

Pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman, berkata beliau memenuhi janjinya untuk membawa pelajar tahfiz berkenaan dengan untuk mengubati trauma dan tekanan berikutan tragedi kebakaran pusat pengajian mereka pada 14 September lalu yang mengorbankan 23 nyawa.

Beliau yang dikenali sebagai Dr Vida, berkata pelajar dan guru terbabit adalah kumpulan pertama mengerjakan umrah, manakala beberapa pelajar yang cedera dan masih menjalani rawatan tidak dapat menyertai rombongan yang sama.

“Hari ini (26 Oktober) adalah hari kelahiran saya dan tajaan mengerjakan umrah ini adalah hadiah terbesar diberi kepada pelajar, semoga mereka mendoakan kesejahteraan serta kejayaan dalam pelbagai bidang pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Dr Vida berkata, salah satu sebab mendorong beliau memilih pelajar terbabit untuk mengerjakan umrah adalah kerana mereka terdiri daripada golongan terpilih yang mengembangkan syariat Islam.

Beliau juga berhasrat menyertai rombongan umrah itu tetapi dihalang kekangan masa berikutan jadual kerjanya yang sentiasa padat tetapi mahu mencuba seboleh mungkin untuk menyertai kumpulan kedua, namun semuanya bergantung kepada jadual kerja.

“Selepas pulang ke tanah air, pelajar ini akan dibawa tinggal di rumah saya antara satu hingga dua bulan sementara menantikan bangunan baharu pusat tahfiz berkenaan siap sepenuhnya.

“Penajaan ini turut membabitkan pelanggan produk kami yang berjaya memulihkan semula kesihatan dan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan pihaknya akan membina sebuah pusat tahfiz di Tanah Merah, Kelantan, pada Disember ini.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *