Anggota Kelab Veteran UMNO mahu terus menyumbang jasa mereka kepada parti tercinta dan bercadang mahu memohon status sayap dalam parti keramat itu, sama seperti yang diberikan kepada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Setiausaha Agung Veteran UMNO Malaysia Datuk Mustapha Yaakub berkata dengan adanya sayap berkenaan, veteran akan diberi pengiktirafan apatah lagi mereka membentuk 30 peratus atau hampir 800,000 daripada 3.4 juta ahli UMNO di seluruh negara.

“Kewujudan veteran ini tidak tercatit dalam Perlembagaan UMNO hingga ada yang mengatakan veteran ini sebagai satu pertubuhan haram. Jadi apa yang kami minta pada hari ini, adalah Perlembagaan UMNO itu dipinda dan menubuhkan satu sayap khusus iaitu Veteran UMNO,” kata beliau kepada Media ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Mustapha, disebabkan tiada status seperti sayap, ada kalangan anggota merasakan kehadiran veteran sudah tidak diperlukan, malah ada juga yang merasakan bahawa veteran mahu memegang kuasa.

“Walhal kami sedikit pun tidak mahu berbuat demikian (memegang kuasa), kami cuma mahu membantu ahli,” kata beliau.

Menurutnya lagi, tidak ada yang perlu diragukan dengan kehadiran veteran kerana mereka merupakan pemimpin UMNO yang pada suatu ketika dahulu pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam parti.

“Kami ada bekas exco, bekas menteri, bekas menteri besar, bekas timbalan menteri tetapi kami semua tidak mahu memegang jawatan UMNO. Kami cuma mahu membantu perjuangan parti kerana sayang dan cinta kepada parti,” jelasnya.

Tambah Mustapha, veteran pada ketika ini sedang menyusun program memperkasakan anggota bagi membantu UMNO dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Kami semua sudah veteran, jadi program yang kami anjurkan juga lebih kepada program yang sesuai dengan umur kami seperti kerja-kerja kebajikan yang tertumpu di masjid-masjid dan surau selain melawat rumah-rumah warga emas.

Selain itu, mereka juga menggerakkan kempen ‘Keluargaku Pengundi BN’ iaitu setiap ahli keluarga anggota veteran diwajibkan mempunyai lima orang ahli keluarga yang menjadi pengundi Barisan Nasional.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *