Anda di sini!
Utama > Belia > UTeM Galak Ahli Akademik Kembangkan Budaya E-Pembelajaran

UTeM Galak Ahli Akademik Kembangkan Budaya E-Pembelajaran

MELAKA, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mahu menggalakkan lebih ramai ahli akademiknya mengembangkan budaya e-Pembelajaran di universiti itu, kata Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib.

Beliau berkata melalui inisiatif itu hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 terutama dalam pendekatan pembelajaran dalam talian tahap global dapat direalisasikan.

“Kita akan mengembangkan inisiatif ini menerusi pembangunan e-Kandungan berkualiti dalam bidang kepakaran tertentu, penyertaan dalam konsortium e-Kandungan antarabangsa dan membina jenama global e-Pembelajaran Malaysia di peringkat antarabangsa.

Para akademik merupakan nadi dan jiwa bagi merealisasikan harapan dan impian universiti untuk menjadikan pendidikan tinggi di sesebuah universiti berjaya,” katanya pada Majlis Anugerah Akademik Universiti (AAU) 2015 di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Asma Ismail.

Dalam pada itu Asma berkata kementerian menyeru agar akses pendidikan di universiti menjadi lebih fleksibel bagi membolehkan pelajar mengakses pembelajaran di mana jua mereka berada.

“Pelajar pada masa ini tidak mengikut tradisi dan pendidikan mesti berubah daripada berstruktur kepada anjal. Dalam kata mudah, dengan teknologi yang ada, pendidikan boleh berlaku pada bila-bila masa, di mana sahaja dan kepada sesiapa sahaja merentasi sepadan dan lautan.

Oleh itu, para akademik hari ini juga digalakkan untuk menggunakan medium Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang pelbagai sama ada secara maya dan permainan komputer.

“Kaedah pengajaran juga haruslah bersifat lebih aktif, kreatif supaya proses penerimaan ilmu berjalan dengan lebih mudah selain menarik minat pelajar yang kebanyakannya terdiri daripada kumpulan generasi Y,” katanya.

Leave a Reply

Top