Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata usul bagi pemimpin Umno yang terlibat dalam ‘Deklarasi Mahathir’ dipecat daripada parti akan dibawa pada mesyuarat MTakan datang.

Beliau berkata tindakan itu perlu kerana sudah jelas perbuatan itu melanggar disiplin parti.

“Akan diusulkan dalam mesyuarat MT Umno akan datang agar mereka daripada Umno yang menghadiri atau menandatangani deklarasi itu untuk menjatuhkan pemimpin (presiden) parti dikenakan tindakan dipecat daripada parti.

“Segala prosedur akan dibuat oleh parti dengan (terlebih dahulu) menghantar surat tunjuk sebab kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan Ketua-Ketua Kampung dan Ketua Umno di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar di sini, Sabtu.

Mohamed Nazri berkata beliau percaya laporan tentang pemimpin terbabit telah dibuat kepada jawatankuasa disiplin parti untuk pertimbangan dan siasatan dan hasil laporan itu akan dibentangkan pada mesyuarat MT.

Mohamed Nazri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembabitanpemimpin Umno dalam Deklarasi Mahathir yang diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertujuan menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri dan presiden Umno.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Ketua-Ketua Kampung Parlimen Padang Rengas Osman Rani Yang Ramli berkata satu memorandum telah diserahkan kepada Mohamed Nazri yang menyatakan sokongan penuh bagi Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada parti.

Katanya ini kerana tindakan Muhyiddin menandatangani deklarasi itu jelas bertentangan dengan perlembagaan parti.

“Semua ketua kampung dalam kawasan Parlimen Padang Rengas memberikan sokongan penuh kepada presiden Datuk Seri Najib untuk mengambil tindakan dan langkah-langkah bagi mengembalikan maruah parti dan kerajaan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *