Anda di sini!
Utama > Belia > USIM Telah Terbitkan 600 Buku Pelbagai Genre

USIM Telah Terbitkan 600 Buku Pelbagai Genre

NILAI, Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menerbitkan lebih 600 buku dalam pelbagai genre, bahasa dan mengedarnya bukan sahaja di Malaysia, malah ke peringkat antarabangsa.

Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Musa Ahmad berkata selain bersendirian, penerbitan ini turut melibatkan kolaborasi bijak dengan pelbagai rakan kerjasama, sama ada dalam bentuk memorandum perjanjian, persefahaman dan sebagainya.

“Kita juga mempunyai rakan penerbitan dari Jepun, Amerika Syarikat, Jordan, Jerman dan China untuk menyerlahkan lagi ‘keberadaan’ Penerbit USIM pada peringkat antarabangsa, namun perjalanan kita masih jauh dan ada pelbagai perkara yang perlu dilaksanakan untuk terus berada pada tahap yang membanggakan.

“Kita perlu berusaha dengan lebih gigih lagi untuk meningkatkan kualiti jurnal-jurnal terbitan kita,” katanya pada majlis perasmian Kalam Bitara 2018 di Pusat Komersil USIM di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah USIM Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak dan Ketua Bahagian Penerbit USIM Hariza Mohd Yusof.

Sementara itu, Musa berkata majlis Kalam Bitara diadakan sebagai menghargai penulis USIM yang sentiasa menghasilkan karya ilmiah hingga diterbitkan.

“Kami juga berharap majlis ini dapat menaikkan motivasi kepada penulis USIM untuk menghasilkan lebih banyak karya bermutu bersama Penerbit USIM serta sesuai dengan pasaran semasa. Selain itu, diharapkan kedai buku Penerbit USIM dapat diperkenalkan kepada orang ramai terutamanya warga USIM, pengedar buku dan masyarakat,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan royalti kepada penulis terlibat berjumlah RM91,871 serta anugerah penulis aktif dan buku terlaris.

Leave a Reply

Top