Share on Facebook

TAWAU, Golongan pengusaha kecil dan sederhana serta usahawan tani luar bandar di negara ini perlu berani berubah dan berfikir di luar kotak untuk menjual produk pasaran domestik dan antarabangsa.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata pada era ini golongan tersebut jangan merendah diri dan hanya menyasarkan jualan produk di kawasan kampung dan daerah sahaja kerana dunia perniagaan sekarang meluas termasuk kerajaan turut menyediakan pelbagai platform digital ekonomi yang wajib dimanfaatkan rakyat untuk berniaga.

“Hala tuju perniagaan telah berubah. Petani, pengusaha kecil serta usahawan tani di Tawau ini, jangan duduk menjual di Tawau sahaja tetapi pergilah menjual produk yang ada termasuk sehingga ke China, Korea dan Asia Tengah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini selepas merasmikan program Hari Usahawan Belia anjuran Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tawau serta Kelab Sukan dan Rekreasi Komuniti Parlimen Tawau di sini, hari ini.

Tajuddin dalam pada itu mencadangkan kepada Ketua Pemuda UMNO Tawau Ariffin Kassim supaya mengetuai delegasi yang melibatkan usahawan tani dan pengusaha kecil Tawau bagi mempromosi serta mempamerkan produk tempatan Tawau ke negara seperti China, Eropah, Jepun dan Asia Tengah.

“Kita memiliki banyak produk tempatan yang mendapat sambutan baik di luar seperti durian yang menjadi kegilaan penduduk di China dan sebab itu kita perlu perluaskan pasaran produk-produk lain,” katanya yang turut meminta Pemuda UMNO di setiap kawasan bergerak aktif membela nasib ekonomi penduduk luar bandar yang memerlukan bantuan.

Tajuddin dalam pada itu turut mengingatkan supaya produk yang dipasarkan menepati standard piawaian pasaran termasuk aspek kandungan dan keselamatan produk.

Sementara itu, Tajuddin turut mahu PPK di seluruh negara membantu mengangkat martabat serta keupayaan petani untuk berjaya di pentas pasaran antarabangsa.

“PPK di seluruh negara sepatutnya bergabung jadi satu tenaga yang menyediakan kepimpinan untuk mengangkat petani dan usahawan tani daripada peniaga kecil kepada peniaga besar,” katanya dan menambah kerajaan hanya boleh memberi bantuan tetapi perkara itu tidak mendatangkan makna sekiranya pengusaha sendiri tidak mahu menerima perubahan.

Pada program itu seramai 193 pengusaha menerima bantuan kewangan daripada Tekun yang bernilai keseluruhan RM1.79 juta.

Lembaga Pemasaran Pertanian (FAMA) turut menyalurkan sumbangan bernilai RM160,000 kepada 10 pengusaha di samping 20 usahawan muda turut menerima kiosk setiap satu bernilai RM20,000 di bawah program Agropreneur Muda daripada Lembaga Pertubuhan Peladang.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *