Anda di sini!
Utama > Ekonomi > Untung Pracukai 2015 MBSB Susut

Untung Pracukai 2015 MBSB Susut

mh online

Keuntungan sebelum cukai Malaysia Building Society Bhd (MBSB) susut kepada RM355.03 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2015 daripada RM932.56 juta pada 2014.

Pendapatan bagaimanapun meningkat kepada RM3.05 bilion berbanding RM2.61 bilion bagi tempoh yang sama, menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada rabu.

Bagi tahun kewangan 2015, aset keseluruhan syarikat berkembang 9.09 peratus kepada RM41.09 bilion daripada RM37.67 bilion pada 2014.

Bagi pinjaman dan pembiayaan kasar, aliran meningkat dengan pertumbuhan 4.38 peratus daripada RM33.81 bilion pada suku ketiga kepada RM34.11 bilion pada suku keempat.

Bagaimanapun, nisbah pembiayaan susut nilai bersih yang berada pada 2.81 peratus pada akhir 2015 menunjukkan penurunan daripada 4.05 peratus yang dicatatkan pada 2014, menurut MBSB.

Dalam kenyataan berasingan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB, Datuk Ahmad Zaini Othman berkata keuntungan bersih syarikat telah terjejas oleh program susut nilai pada akhir 2014.

“Bagaimanapun, ia perlu diambil secara positif memandangkan ia menunjukkan komitmen syarikat untuk memenuhi piawaian susut nilai industri dan menghapuskan jurang itu,” kata Ahmad Zaini.

Beliau berkata pinjaman tidak berbayar (NPL) terus menunjukkan aliran positif, yang mewujudkan pendekatan pencegahan NPL secara berkesan serta mengukuhkan proses penanggung jaminan kredit.

Ahmad Zaini berkata pendapatan kekal disumbangkan terutamanya oleh aset pembiayaan runcit manakala segmen korporat turut meningkat sumbangan pendapatan.

MBSB terus menyokong usaha kerajaan untuk menambah bekalan unit rumah mampu milik dengan mendapatkan pembiayaan untuk beberapa projek di seluruh negara.

“Perniagaan baharu dalam pembiayaan peralatan turut menunjukkan pertumbuhan pendapatan, yang membawa kepada penubuhan dua lagi hab pemprosesan, masing-masing di wilayah utara dan selatan,” menurutnya.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan, Ahmad Zaini berkata MBSB kekal yakin.

“Segmen runcit, sebahagian besarnya terdiri daripada penjawat awam menunjukkan guna tenaga adalah stabil, manakala pertumbuhan dalam segmen korporat akan terus dikekalkan melalui kontrak kerajaan dan projek swasta berdaya maju terpilih,” katanya.

Leave a Reply

Top