Anda di sini!
Utama > Belia > UniSZA Laksana Projek Tebatan Banjir

UniSZA Laksana Projek Tebatan Banjir

mh online

Pengalaman banjir yang sering melanda Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) beberapa tahun lepas menyebabkan pihak pengurusan universiti itu mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan projek tebatan banjir dan membuat tasik buatan untuk takungan air.

Pengarah Jabatan Pengurusan UniSZA Mohd Yassin Abdul Ghani berkata projek yang sedang berjalan itu melibatkan peruntukan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berjumlah kira-kira RM5.7 juta.

“Langkah pertama yang kita buat ialah dengan membersih kawasan kolam seluas kira-kira enam hektar dengan membuang segala pokok-pokok besar dan semak yang terdapat di dalamnya.

“Bagi menyiapkan tasik buatan itu ia melibatkan peruntukan RM4.3 juta, manakala selebihnya kita akan bina kawasan rekreasi, trek untuk berjoging serta landskap yang menarik,” katanya.

Mohd Yassin berkata punca utama banjir di UniSZA apabila air melimpah ke kawasannya terutama pada musim monsun apabila rumah-rumah yang dibina di sekitar universiti itu tidak ada kawasan laluan air keluar.

Katanya UniSZA juga turut membina laluan air yang direka sendiri berukuran 7.62 meter dalam usaha mencegah air dari melimpah yang sering terjadi.

Beliau berkata dengan adanya tebatan banjir serta kolam berkenaan, ia dilihat boleh menyelesaikan masalah banjir yang berlaku di universiti itu selama ini.

Mohd Yassin berkata langkah jangka panjang turut diambil dalam usaha mencegah banjir sedang dibuat dengan membina sistem perparitan di bawah kelolaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melibatkan peruntukan RM11 juta.

Leave a Reply

Top