Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Umpama Ular Lidi Ajak Ular Sawa Mencari Makan – Amanah

Umpama Ular Lidi Ajak Ular Sawa Mencari Makan – Amanah

Cadangan Pas supaya PKR dan Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan dan bersama mereka dalam blok ketiga bersamanya seumpama usaha seekor ular lidi mengajak ular sawa mencari makan bersamanya.

Naib Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed berkata, PKR dan Bersatu bukanlah sebuah parti kerdil seperti Berjasa dan Ikatan, malah pemimpin mereka jauh lebih matang dan mempunyai pandangan politik yang tajam.

“Mereka mempunyai banyak kelebihan, antaranya lagi ialah bijak memahami senario politik Malaysia. Mustahil perkara tersebut berlaku.

“Lagipun PKR sudah lama bersama DAP dalam Pakatan Rakyat dan kini sekali lagi bersama DAP dan Amanah, sebelum Bersatu turut mengambil sikap untuk bersama-sama dalam Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Mohd Amar Nik Abdullah yang mendakwa kekuatan pembangkang akan meningkat sekali ganda sekiranya PKR dan Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan dan menyertai blok ketiga.

Menurutnya, adalah mustahil dari segi politik, PKR dan Bersatu akan meninggalkan pakatan politik yang kuat dan kukuh, semata-mata untuk bersama dengan satu pakatan politik baharu atas nama blok ketiga yang masih tidak jelas tuju perjalanan politiknya.

Malah beliau juga berkata, Pas bagaikan bersandiwara apabila bertindak mengajak parti pembangkang lain bersama mereka menentang BN, sedangkan mereka dalam masa yang sama sedang bermesra dan menjalinkan hubungan politik dengan BN.

“Pas hanya boleh bekerjasama dengan mana-mana politik yang bersedia untuk duduk dan patuh kepada arahan dan kehendak mereka.

“Dalam erti kata lain, mereka boleh mengajak parti-parti kecil seperti Berjasa dan Ikatan untuk berada di bawah telunjuk politik mereka, namun mustahil PKR dan Bersatu untuk berbuat sedemikian,” katanya.

 

Leave a Reply

Top