Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > UMNO Kelantan Mahu Semula Dun Guchil

UMNO Kelantan Mahu Semula Dun Guchil

PASIR MAS, UMNO Kelantan mahu menuntut semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guchil, Kuala Krai, selepas dipinjamkan kepada Parti Progresif Penduduk (PPP) dalam Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata UMNO juga akan memfokuskan untuk menang di 31 daripada 45 DUN dan lapan daripada 14 Parlimen.

“Setakat ini, nama calon sudah dihantar dan dijangka ada sekali lagi pusingan menetapkan nama terbabit di kawasan masing-masing.

“Nama itu termasuk agihan kerusi untuk MCA yang akan bertanding di DUN Kota Lama dalam Parlimen Kota Bharu, manakala DUN Guchil, Kuala Krai yang UMNO pinjamkan dulu kepada PPP juga akan dituntut balik,” katanya selepas melawat jentera parti Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bechah Semak, Tendong, di sini.

Dalam lawatan itu, Mustapa turut meluangkan masa bersama penduduk kampung dan menziarah pesakit kronik di PDM berkenaan.

Mustapa berkata, peluang UMNO memenangi separuh kerusi Parlimen negeri itu semakin positif selepas rakyat Kelantan sedar kemajuan dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Kelantan.

“Kita masih berusaha dan tandanya semakin positif selepas rakyat faham dengan apa yang dibawa Najib setakat ini.

“Mereka yang kecewa dengan kepimpinan Najib adalah orang yang mempunyai agenda sendiri dan perkara itu semakin difahami rakyat,” katanya.

Leave a Reply

Top