Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > UMNO Kelantan Bersiap Sedia Hadapi Pru-14

UMNO Kelantan Bersiap Sedia Hadapi Pru-14

UMNO Kelantan akan mengambil semangat ‘kebangkitan UMNO’ yang ditunjukkan pada perhimpunan sambutan ulang tahun ke-71 parti itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi, untuk membuat persiapan meraih kejayaan cemerlang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata suntikan semangat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada seluruh anggota UMNO supaya bekerja bersungguh-sungguh, menunjukkan pilihan raya umum semakin hampir.

“Kita perlu bekerja kuat termasuk di peringkat akar umbi, memperkemaskan pusat daerah mengundi (PDM) dengan gerak kerja yang lebih mantap bagi memastikan kita mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada PRU14 nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Dewan Serbaguna Wat Prachummthatcanaram, Kampung Jubakar Darat di sini, pada jumaat.

Beliau berkata kehadiran lebih 150,000 anggota dan penyokong UMNO dari seluruh negara pada perhimpunan tersebut menunjukkan semangat perpaduan dalam parti itu semakin kukuh.

Ditanya keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang membuat keputusan memutuskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam, Mustapa berkata tindakan tersebut akan mengubah landskap politik Kelantan dan Malaysia.

“Kita akan pantau perkembangan tersebut kerana sudah tentu ia akan membawa perubahan sama ada baik atau buruk kepada suasana politik negara ini,” katanya.

Majlis Syura Ulama PAS telah mengambil keputusan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR serta-merta setelah melihat parti berkenaan melanggar beberapa perkara dalam syarat kerjasama politik.

Sementara itu, Mustapa yang juga pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan berkata kerajaan Persekutuan membelanjakan kira-kira RM3.9 juta untuk membantu masyarakat Siam di kawasan Parlimen Tumpat dalam tempoh 2012 hingga sekarang (2017).

Beliau berkata peruntukan itu termasuk RM1 juta untuk membina bangunan dewan serbaguna setinggi empat tingkat di wat berkenaan dan sebanyak RM200,000 setahun untuk memperkasakan pembelajaran bahasa Thai kepada masyarakat berkenaan.

Katanya kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin terhadap kebajikan semua kaum di negara ini termasuk masyarakat Siam, agar mereka tidak ketinggalan daripada arus kemajuan negara.

Leave a Reply

Top