Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > UMNO Jelajah Seluruh Negara Jelas Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing

UMNO Jelajah Seluruh Negara Jelas Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing

UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) memulakan program jelajah ke seluruh negara untuk memberi penerangan mengenai pasukan petugas khas ditubuhkan Kabinet untuk menjalankan siasatan awal berkenaan kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara pada sekitar 1990-an.

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata jelajah penerangan itu dijadual bermula 25 Feb ini dan ia harus diadakan ekoran daripada wujudnya cubaan pihak tertentu mempersoalkan pasukan petugas khas tersebut dan membandingkannya dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Isu mengenai urus niaga mata wang asing ini penting kerana ia tidak disiasat secara menyeluruh dan terperinci sebelum ini walaupun ia membabitkan jumlah wang yang besar.

“Kenapa pasukan petugas khas ini ditubuhkan dan kenapa tidak mewujudkan pasukan petugas khas untuk 1MDB?…ini semua akan dijelaskan dalam jelajah penerangan yang akan dilakukan UMNO dan BN nanti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Penerangan UMNO di sini, pada Ahad.

Pada 15 Feb lepas, Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan berkata pasukan petugas khas itu akan dianggotai pelbagai agensi kerajaan termasuk individu-individu yang dihormati dan berpengalaman dalam bidang-bidang tertentu.

Penubuhan pasukan petugas khas itu juga merupakan langkah permulaan bagi mendapatkan semula fakta-fakta yang berkaitan – menganalisis semua Hansard rasmi mesyuarat Parlimen pada masa itu, minit mesyuarat Kabinet yang terdahulu, laporan Ketua Audit Negara, Bank Negara Malaysia dan laporan lain daripada agensi yang berkenaan, kata Pejabat Perdana Menteri.

Annuar berkata kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara adalah berbeza dengan isu 1MDB kerana 1MDB adalah entiti yang sudah melalui siasatan dan ia hanya sebuah syarikat.

“Berbeza dengan kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara, ia membabitkan kehilangan dana rakyat, maka pasukan petugas khas yang ditubuhkan Kabinet ini dapat merumuskan dengan lebih jelas siapakah yang menyebabkan kerugian itu dan mengapa ia berlaku.

“Sehubungan itu, kami di pihak kerajaan akan memberi penjelasan lengkap bagi menangkis cubaan pihak tertentu untuk mempersoalkan dan mengkritik penubuhan pasukan petugas khas ini,” katanya.

Sesi jelajah penerangan BN dan UMNO itu akan bermula di Hulu Selangor pada 25 Feb ini sebelum meneruskannya di negeri lain pada bulan Mac depan, ia akan membabitkan kerjasama pucuk pimpinan UMNO dan BN, katanya.

Dalam pada itu, Annuar berkata jawatankuasa penerangan UMNO kini menumpukan perhatian kepada tiga gerakan intensif penerangan iaitu melalui ceramah bersemuka di pelbagai peringkat, penyebaran maklumat melalui media elektronik dan cetak serta media baharu.

Leave a Reply

Top