Anda di sini!
Utama > Terkini > UMNO Bersikap Terbuka Bekerjasama Dengan PAS – TPM

UMNO Bersikap Terbuka Bekerjasama Dengan PAS – TPM

mh online

UMNO bersikap terbuka untuk menjalin kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan mana-mana pihak termasuk PAS bagi memperkukuhkan umat Islam, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam reaksi terhadap kesediaan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak menghulurkan “tali silaturahim” kepada PAS, beliau berkata agenda untuk kebersamaan antara semua badan Islam termasuk parti politik perlu diterjemahkan agar senada dalam soal memperkukuhkan umat Islam tanpa niat mengetepikan kepentingan agama-agama lain.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata kerjasama UMNO dan PAS memerlukan komitmen kedua-dua pihak dan “tidak boleh bertepuk sebelah tangan”.

“Mudah-mudahan terjadilah, sokongan itu satu suara yang kuat untuk kepentingan ummah keseluruhannya,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2015 oleh Najib di sini hari ini.

Najib, yang juga Perdana Menteri, dalam ucapannya menghulurkan “tali silaturahim” kepada PAS untuk bersama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam selepas parti itu “disepak dan diterajang keluar” oleh rakan-rakan pembangkangnya.

Pertelingkahan terbuka antara PAS dengan rakan pembangkang PR terutamanya DAP berlaku terutamanya di negeri-negeri diperintah mereka seperti Selangor dan Pulau Pinang.

Hubungan PAS dengan rakannya dalam PR semakin meruncing berikutan penubuhan parti Amanah Negara (Amanah) yang diterajui bekas-bekas pemimpin parti itu yang mendapat sokongan kuat DAP.

Mengenai ucapan perasmian yang juga ucapan dasar Najib itu, Ahmad Zahid berkata para perwakilan dilihat jelas dan faham mengenai isu-isu semasa yang dijelaskan presiden parti.

Namun, katanya, kefahaman itu mungkin tidak dikongsi bersama masyarakat luar yang mungkin mempunyai tafsiran berbeza dan ia memerlukan penjelasan secara berterusan.

“Tanggungjawab untuk memberikan tafsiran yang benar jangan diletakkan pada presiden sahaja, tetapi kepimpinan UMNO keseluruhannya termasuk di peringkat negeri dan bahagian,” katanya.

Ketika diajukan soalan mengenai keputusan Majlis Tertinggi UMNO semalam yang hanya Presiden UMNO akan membuat ucapan penggulungan pada Sabtu ini sebagai melanggar tradisi, Ahmad Zahid menjelaskan ‘tradisi’ yang dimaksudkan sebenarnya hanyalah sekadar konvensyen di mana ia tidak tertera dalam perlembagaan parti.

Beliau berkata tindakan segelintir anggota UMNO mengadakan perhimpunan di luar perhimpunan agung UMNO sebenarnya yang telah melanggar tradisi parti itu.

Setiap perbincangan mengenai masalah dan isu parti, secara tradisinya, diadakan dalam perhimpunan agung parti itu, katanya.

“Tradisi apa yang anda cakapkan? Kalau mahu ikut tradisinya, tidaklah membuat perhimpunan di luar perhimpunan (agung UMNO), tradisinya mesti ada perbincangan di dalam perhimpunan (agung UMNO),” katanya.

Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lepas menghadiri ‘Majlis Bersama Timbalan Presiden Umno’ di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru di sini anjuran Pemuda Umno Cawangan Sungai Rasau, Sepang.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top