Share on Facebook

KUALA LUMPUR, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, UMNO perlu kekal menjadi pilihan rakyat, khususnya golongan muda kerana parti keramat itu adalah benteng terakhir orang Melayu dan Islam di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, walaupun ada pihak yang cuba meracuni pemikiran rakyat dengan mengotori UMNO menerusi pelbagai persepsi negatif, rekod jelas membuktikan perjuangan parti itu kepada agama, bangsa dan tanah air, tanpa mengetepikan kepentingan bangsa lain.

“Ada pihak luar cuba menconteng arang bagi menghitamkan gambaran sebenar UMNO Hodoh sangatkah UMNO? Kotor sangatkah UMNO?

“Kebencian ini disuntik dan dilemparkan kepada masyarakat umum melalui persepsi negatif. UMNO dihukum oleh mahkamah pendapat umum.

“Apabila kebatilan serta pembohongan ini diulang-ulang, ia menjadi stigma pada pola pemikiran dan akhirnya, UMNO itu ditanggapi sebagai kotor,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Kepemimpinan Mahasiswa Nasional (PEMANAS) 5.0 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Biro Pendidikan UMNO, Prof Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah dan Pengarah PEMANAS 5.0, Mohd Shahar Abdullah.

PEMANAS 5.0 selama enam hari bermula semalam, menghimpunkan kira-kira 350 mahasiswa universiti awam dan swasta daripada pelbagai latar belakang bagi akan membincangkan empat bidang utama iaitu politik, ekonomi, agama dan pendidikan, sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Ke-71.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO menjalankan tugas Timbalan Presiden, berkata mahasiswa PEMANAS serta Kelab UMNO Luar Negara memiliki tanggungjawab untuk mendedahkan kebenaran mengenai perjuangan parti itu bagi menghapuskan fitnah yang dilontarkan pihak tertentu.

Katanya, kecekalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak menghadapi pelbagai tohmahan, membuktikan kewibawaannya sebagai pemimpin, layak untuk didokongi bagi meneruskan perjuangan parti itu.

“Biarpun beliau diterajangi dengan pelbagai isu, disimbah dengan pelbagai fitnah serta dihujani pelbagai peluru kebencian, namun daya tahan beliau luar biasa.

“Ini pemimpin yang harus kita dokong. Ini bukan soal wala’, atau kesetiaan membabi buta, tetapi berlandaskan keyakinan saya padanya kerana beliau memiliki falsafah kepemimpinan yang tinggi demi orang Melayu dan Islam, tanpa mengetepikan bangsa serta agama lain.

“Biarpun beliau anak Perdana Menteri Kedua, namun jiwa hamba, jiwa rakyat serta rasa rendah diri Datuk Seri Najib luar biasa. Saya akan terus mendokong beliau kerana keyakinan saya padanya cukup tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut menzahirkan keyakinannya kepada mahasiswa PEMANAS serta ahli Kelab UMNO Luar Negara untuk menggantikan pemimpin UMNO ketika ini, sekali gus meneruskan kesinambungan perjuangan parti.

“Kita harus berani berdepan dengan sesiapa saja dan jangan berundur ke belakang, serta pemimpin harus bersih dan kelihatan bersih. Tiga prinsip ini jika dipegang, maka Melayu akan sayang UMNO dan akan meletakkan segala harapan pada anda semua,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *