Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > UMNO Bandar Tun Razak Bantu Peniaga Pasar Malam

UMNO Bandar Tun Razak Bantu Peniaga Pasar Malam

Oleh : Abdullah Karim

KUALA LUMPUR, Peniaga-peniaga Pasar Malam di sekitar Bandar Tun Razak (BTR) cukup beruntung apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan payung percuma kepada mereka.

Apa yang perlu mereka lakukan ialah memberi kerjasama kepada pihak berkenaan dari segi menjaga kebersihan bagi menjamin kawasan perniagaan mereka terpelihara.

Ketua Umno Bahagian BTR, Datuk Rizalman Dato’ Mokhtar berkata demikian ketika menyampaikan lesen perniaga pasar malam Jalan Ikan Emas dekat sini pagi tadi.

Pada majlis tersebut seramai 60 peniaga pasar malam di situ menerima lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh DBKL.

Ia merupakan fasa terakhir peniaga di kawasan tersebut diberikan lesen daripada sejumlah 160 peniaga di jalan berkenaan.

Datuk Rizalman juga menyarankan kepada semua peniaga di situ supaya memberi kerjasama penuh kepada Persatuan Penduduk Perumahan Awam Sri Johor dengan membayar yuran sebanyak RM4 semalam yang dikenakan kepada mereka.

Dengan adanya yuran sebanyak itu, dapatlah pihak bertanggung jawab iaitu Persatuan Penduduk membersih kawasan sebaik mereka selesai berniaga di kawasan berkenaan.

“Saya dimaklumkan ada antara peniaga yang tak nak bayar kepada persatuan.

“Bagi saya ini satu perkara yang tidak patut dilakukan oleh peniaga. Mereka mesti ingat hanya dengan yuran sebanyak itu, kawasan tempat mereka cari makan ini bersih, seolah-olah tidak pernah ada pasar malam,” ujarnya.

Dalam masa sama beliau yang baharu sahaja disambung tugas sebagai Ahli Lembaga Penasihat DBKL selama dua tahun lagi terperanjat apabila media mengucapkan tahniah atas pelantikan tersebut.

“Mana saudara tahu,” katanya sambil merenung wajah wakil media yang hadir dengan senyuman.

Sehubungan dengan itu beliau mengucapkan terima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor atas penyambungan tugasnya di DBKL.

Tugasnya selepas ini ialah akan menyusun semula projek-projek perumahan di BTR bagi mempastikan penduduk di sini menikmati kehidupan yang lebih sempurna.

Leave a Reply

Top