Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > UKM FC,FELCRA FC Melangkah Cemerlang Ke Pusingang Kedua Piala FA

UKM FC,FELCRA FC Melangkah Cemerlang Ke Pusingang Kedua Piala FA

mh online

Dua wakil kelab Piala FAM, UKM FC dan Felcra FC melangkah ke pusingan kedua Piala FA selepas mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing di pusingan pertama, semalam.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, dekat sini, pada semalam, Felcra FC bangkit daripada ketinggalan 0-1 pada separuh masa sebelum menumpaskan wakil Negeri Sembilan, Penjara FC 2-1.

Dua gol Felcra FC dihasilkan Shahrizal Saad pada minit ke-70 dan Muhd Haikal Mohd Nazri pada minit terakhir manakala gol tunggal Penjara FC dijaringkan Zulhemi Jumai pada minit ke-34.

Kemenangan itu menyaksikan Felcra FC bakal berdepan pasukan Liga Perdana, Perlis pada pusingan kedua di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis pada 19 Feb ini.

Terdahulu pada sebelah petang, UKM FC menang 5-4 ke atas wakil Terengganu, Hanelang FC menerusi penentuan penalti di Stadium Mini UKM, Bangi.

Kedua-dua pasukan sebelum itu terikat 1-1 selepas 90 minit permainan dan kedudukan tetap buntu selepas tambahan masa 30 minit.

Muhammad Azri Zulkiflee meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-57 sebelum Muhd Safix Ibrahim menyamakan kedudukan untuk Hanelang FC pada minit ke-75.

Perlawanan itu dicemari dengan beberapa aksi kasar sehingga memaksa pengadil melayangkan kad merah kepada dua pemain Hanelang FC, Mohd Syazreen dan Mohd Hasyidan Nafie Hamid, pada setiap babak perlawanan.

UKM FC bagaimanapun berdepan ujian getir pada pusingan kedua apabila perlu berdepan bekas juara dua kali Piala FA, Kelantan pada 19 Feb ini.

Leave a Reply

Top