Anda di sini!
Utama > Luar Negara > Turki Henti Operasi Ketenteraan Di Syria

Turki Henti Operasi Ketenteraan Di Syria

Turki semalam mengumumkan penamatan kempen tentera di utara Syria tanpa menyatakan sama ada akan membawa keluar askarnya dari negara jiran itu.

Majlis Keselamatan Negara (MGK) yang dipengerusikan Presiden Tayyip Erdogan dalam satu kenyataan berkata, operasi setengah tahun di Syria itu dianggap berjaya.

“Operasi Euphrates Shield yang bertujuan memastikan keselamatan di sempadan negara kita dan membanteras ancaman Daesh dan serangannya yang menyasarkan negara kita… sudah tamat dengan jayanya,” kata agensi itu selepas mesyuarat di istana Erdogan di Ankara.

Perdana Menteri, Binali Yildirim berkata, operasi itu tamat tetapi tidak menolak kemungkinan diadakan kempen ketenteraan baharu di Syria dengan nama berbeza.

“Euphrates Shield sudah berakhir. Operasi yang mungkin dilaksanakan selepas ini, jika perlu, akan diberi nama lain,” kata Yildirim kepada televisyen swasta NTV.

Masih tidak jelas sama ada ia petanda kepada rancangan untuk menarik keluar tentera Turki atau disambung dengan operasi di tempat lain dengan nama yang berbeza.

Pada Ogos tahun lalu, Turki melancarkan kempen ketenteraan di Syria, dikenali sebagai Euphrates Shield, menyasarkan kumpulan militan Daesh dan Kurdis yang dianggap Ankara sebagai pengganas.

“Mulai dari sekarang jika ada ancaman terhadap keselamatan kita, sama ada Daesh atau kumpulan lain dan kita mahu mengambil tindakan, ia adalah operasi baharu,” kata Yildirim. – AFP

Leave a Reply

Top