Cadangan agar gred jawatan pentadbir-pentadbir di sekolah rendah khususnya guru besar dan penolong kanan disetarakan dengan kumpulan sama di sekolah menengah akan dibawa ke mesyuarat Kabinet, Jumaat ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tuntutan daripada Majlis Guru Besar Negeri Perak itu perlu diberi perhatian sebagai mengiktiraf profesion perguruan.

“Permintaan ini perlu dilihat secara rasional dan untuk itu saya akan bawa ke mesyuarat Kabinet Jumaat ini,” katanya ketika berucap pada perasmian Konvensyen Perdana dan Persidangan Perwakilan Majlis Guru Besar Negeri Perak kali ke-30/2017 di sini pada selasa.

Ahmad Zahid mengulas permintaan Yang Dipertua Majlis Guru Besar Negeri Perak Rustam Affandy Abdul Aziz supaya gred jawatan pentadbir-pentadbir di sekolah rendah disetarakan dengan sekolah menengah iaitu Gred DG52 bagi guru besar dan DG48 untuk penolong kanan.

Ketika ini, gred hakiki guru besar sekolah rendah iailah DG34 dan gred hakiki guru penolong kanan ialah DG32.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata pengetua dan guru besar merupakan institusi kepimpinan penting dalam sektor pendidikan terutama bagi memastikan sesebuah sekolah dapat diurus tadbir dengan baik.

“Sekolah, cikgu mana pun harus diberi kepedulian dan diurus dengan metodologi yang baik. Kepedulian ini penting kerana jika tidak, sekolah akan menjadi institusi yang tidak betul bentuknya,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam ucapannya berkata kerajaan negeri telah melancarkan pelbagai program pendidikan antaranya Program Anak Angkat khusus untuk sekolah yang mempunyai keputusan peperiksaan kurang memuaskan.

“Ini kerana kita perlu membina keyakinan dan jati diri pelajar itu dan didik mereka supaya mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

“Walaupun bidang pendidikan di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, tetapi demi memastikan anak-anak kita berjaya, kita mengadakan pelbagai program supaya mereka berjaya dalam pelajaran,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *