AYER KEROH, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sejarah pada Istiadat Konvokesyen Ke-21 Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).

Penganugerahan ijazah PhD untuk tesis mengenai kegemilangan Melayu Melaka oleh Mohd Khalil itu, disampaikan Canselor KUIM, Tan Sri Mohd Ali Rustam di Seri Negeri, di sini hari ini.

Pada konvokesyen dua hari berkenaan, seramai 1,564 graduan KUIM menerima ijazah masing-masing, membabitkan empat bagi pengajian peringkat sarjana, 418 sarjana muda serta 1,141 diploma.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata kegigihan, disiplin dan komitmen Mohd Khalil mengurus masa di antara tugas rasmi dan belajar, tidak menghalang minatnya mendalamnya kepada ilmu.

“Kajian Tun berpandukan lebih 200 buku rujukan, tidak termasuk manuskrip lama, keratan akhbar dan mengunjungi muzium di luar negara sudah tentu proses sangat meletihkan pada usia hampir 80 tahun.

“Saya percaya dapatan daripada kajian Tun untuk tesisnya itu, boleh membantu mengembalikan kegemilangan negeri ini sebagai pusat pelabuhan dan perkapalan maritim dunia,” katanya berucap pada istiadat berkenaan.

Mohd Khalil pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pendidikan (1982-1984), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1984-1986) serta Menteri Besar Pahang (1986-1999).

Dalam politik, beliau adalah Setiausaha Agong UMNO pada 1999 hingga 2004 sebelum dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka pada 4 Jun 2004.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *