Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Tumpu Banteras Rasuah Dalam Swasta Dan Korporat

Tumpu Banteras Rasuah Dalam Swasta Dan Korporat

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menumpukan usaha membanteras rasuah dalam sektor swasta dan korporat di samping perhatian terhadap sektor awam, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sektor swasta dan korporat tidak harus dibiar terlepas daripada siasatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Katanya, sektor berkenaan wajar memeterai Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan SPRM seperti dilaksanakan sektor awam.

Beliau berkata, rasuah dan penyalahgunaan kuasa perlu dibanteras secara menyeluruh dan ke akar umbi sehingga tiada yang terlepas hukuman terutama pemberi rasuah.

“Apa sekalipun istilah digunakan mengenai rasuah, ia tetap penyalahgunaan kuasa yang perlu dibanteras. Ada yang menyebutnya `wang pelincir’ dengan pemberi memberi alasan ia bukan rasuah, tetapi sagu hati untuk melicinkan kerja mereka.

“Pastikan bukan saja penerima rasuah menerima hukuman, sebaliknya fokus juga pemberi rasuah. Ramai penerima rasuah ditahan SPRM, tetapi pemberi terselamat sedangkan tanpa pemberi tiada penerima,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika berucap merasmikan wacana Kemuncak Pengupayaan Generasi Muda (MES)  2017 anjuran Majlis Presiden Biro Pelajar Luar Negara (BPLN), di sini, pada isnin.

Yang turut hadir, Pengerusi BPLN, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Timbalan Menteri Luar.

‘Rasuah’ menjadi topik utama perbincangan berikutan isu itu menjadi fokus di negara ini, sekali gus mencari rangka kerja komprehensif untuk memeranginya di peringkat akar umbi.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO menjalankan Tugas-tugas Timbalan Presiden, turut memberi gambaran bagaimana hutan simpan kekal ditukar status untuk kegunaan lain di negeri ditadbir pembangkang.

Tanpa menjelaskan negerinya secara spesifik, beliau mahu SPRM menyiasat kes berkenaan.

“Bagaimana kawasan hutan simpan kekal ditukar status sedangkan sepatutnya menjadi sumber semula jadi (kepada negeri terbabit).

“Mereka yang berkuasa cenderung menyalahgunakan kuasa dimiliki,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengingatkan pelajar luar negara yang tamat pengajian kembali ke tanah air dengan berintegriti tinggi dan menjauhi rasuah.

“Saya percaya anggota BPLN dan Kelab UMNO Luar Negara berintegriti tinggi dan berjiwa besar menjauhi rasuah.

“Kita mahu pastikan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya.

Leave a Reply

Top